PETALING JAYA: Tersingkir pada minggu ke-6, penyanyi, Azahari Aminuddin atau Korie, bersyukur kerana berpeluang menyertai Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12).
Kata penyanyi berusia 56 tahun itu, meskipun tersingkir, pertandingan itu tetap menjadi platform yang bermanfaat buat kerjaya seninya.
“Banyak perkara baharu yang saya buat antaranya membawa karakter Elvis Presley pada konsert minggu kelima GV12.
“Malah ada lagu yang saya bawa dalam pertandingan ini bukanlah genre yang biasa saya nyanyikan. Kiranya, dalam pertandingan ini, saya keluar daripada zon selesa.
“Yang paling penting, ilmu yang saya pelajari, yang dikongsikan barisan juri, terutamanya Datuk Ramli M.S, memberikan banyak kebaikan buat penyanyi seperti saya yang merancang untuk kembali aktif dalam bidang ini.
“Dan saya tak nafikan, GV juga mendatangkan banyak peluang lain kerana sekarang ini saya terima banyak jemputan menyanyi, selain pelawaan untuk mencipta lagu untuk penyanyi lain,” katanya.
Perjalanan Korie dalam GV12 ternoktah Ahad lepas setelah berada pada kedudukan paling bawah dengan markah 58.50 peratus.
Kata Korie, dia telah melakukan yang terbaik justeru reda apabila diumumkan sebagai peserta ketiga meninggalkan program itu selepas Datuk Elaine Kang dan Shy8.
“Saya masuk GV sebab mahu cabar diri. Sejak awal lagi saya tahu kemampuan diri dan sedar saya tidak berpotensi melangkah ke final.
“Apa pun saya sudah beri yang terbaik. Bagi saya, bertahan sampai minggu ke-6 pun sudah memadai,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Korie turut berkongsi perancangan masa depan termasuk penghasilan single terbaharu.
“Lagu baharu insya-Allah akan kekuar tidak lama lagi. Ia sudah hampir siap, mungkin mengambil masa satu bulan lagi untuk disiapkan,” katanya. – UTUSAN










