Alahai, minggu ini telinga Cik Bunga panas sikit mendengar cerita yang berlegar-legar dalam kalangan peminat dunia hiburan.
Kononnya, isteri kepada seorang pelakon dikatakan sudah tidak lagi bertudung selepas baru-baru ini menerima tawaran bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan tempatan. Betul ke tidak, itu Cik Bunga serahkan kepada empunya diri, tetapi cerita ini memang rancak diperkatakan.
Menurut bisikan yang sampai, perubahan itu bukan sekadar khabar angin. Ada yang mendakwa pernah terserempak dan melihat sendiri penampilan terbaharu si isteri yang kini tampil tanpa tudung.
Kalau benar, maka benarlah cerita ‘tudung dah melayang’ itu. Bab lain-lain, biarlah jadi rahsia.
Namun biasalah, bila ada perubahan penampilan, mulalah timbul pelbagai spekulasi. Ada pula yang mengaitkan hal ini dengan rumah tangga, meneka kononnya hubungan dengan si suami pelakon itu sedang tidak seindah dulu.
Cik Bunga secara peribadi berharap sangatlah agar gosip tentang rumah tangga yang berantakan itu tidak benar.
Nama pun gosip, kadang-kadang lebih kepada andaian daripada fakta. Lagipun, bekerja dengan syarikat penerbangan memang ada peraturan tersendiri dan keputusan penampilan adalah hak individu.
Apa-apa pun, doa yang baik-baik sajalah. Moga pasangan ini terus bahagia dan urusan kerjaya si isteri dipermudahkan. Gosip biarlah sekadar gosip, jangan sampai jadi doa yang tidak baik.-UTUSAN










