GEORGE TOWN: Rancangan Struktur Negeri (RSN) Pulau Pinang 2040 (Kajian Semula) dijangka diwartakan pada suku ketiga tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, kajian semula itu penting bagi memastikan dasar pembangunan negeri kekal relevan, inklusif dan komprehensif selaras dengan perubahan semasa.
Menurut beliau, kajian tersebut turut mengambil kira kekangan sebenar negeri terutama berkaitan kekurangan tanah serta wujudnya banyak kawasan sensitif alam sekitar.
“Kita sememangnya berdepan cabaran besar untuk mencari tanah baharu bagi pembangunan kerana banyak kawasan di Pulau Pinang ini tergolong sebagai kawasan sensitif. Jadi, kita perlu meneliti semula dasar sedia ada agar pembangunan dapat difasilitasi tanpa menjejaskan alam sekitar,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam RSNPP 2040 (Kajian Semula) di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.
Program publisiti RSNPP 2040 (Kajian Semula) yang akan berlangsung sehingga 23 Disember ini melibatkan beberapa lokasi pameran iaitu di Komtar, bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi membolehkan orang ramai mengemukakan maklum balas, pandangan atau bantahan.
Mooi Lye berkata, antara aspek utama yang dinilai semula ialah dasar pembangunan melebihi aras 76 meter dari paras laut yang sebelum ini tidak dibenarkan, namun kini dibuka untuk penelitian semula berdasarkan input teknikal.
“Contohnya, ada kawasan yang berada pada aras 80 meter, tetapi, permukaannya rata dan sesuai untuk pembangunan. Mengikut dasar sekarang, ia automatik tidak dibenarkan. Namun, melalui kajian semula ini, kita akan teliti semula tahap ketinggian mana yang wajar dibenarkan,” katanya.
Ujar Mooi Lye, kawasan seperti di Cameron Highlands ketika ini mempunyai dasar pembangunan sehingga melebihi 150 meter dan ia menunjukkan keperluan untuk Pulau Pinang menilai semula had berkenaan berdasarkan kesesuaian setempat.
“Semua maklum balas awam ini kemudian akan dinilai secara terperinci oleh panel teknikal sebelum sesi pendengaran diadakan,” kata beliau.










