RM2 juta setahun diperuntuk program CSR melalui Yayasan PEKEMA

RM2 juta setahun diperuntuk program CSR melalui Yayasan PEKEMA

MOHAMED Nazari Noordin bergambar bersama peserta Majlis Go Green Charity Run 2.0 di Wisma Yayasan PEKEMA, Cyberjaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menerusi Yayasan PEKEMA memperuntukkan kira-kira RM2 juta setahun bagi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), melibatkan pelbagai bentuk bantuan untuk golongan memerlukan di seluruh negara.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, dana tersebut diagihkan secara konsisten sepanjang tahun menerusi pertimbangan dan tapisan oleh sekretariat yayasan.

Menurutnya, antara tumpuan utama CSR yang dilaksanakan Yayasan PEKEMA termasuk bantuan kos rawatan perubatan, pendidikan, bencana alam seperti banjir dan kebakaran, selain bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka yang berdepan dengan kesulitan hidup.

“Kita peruntukkan antara RM100,000 hingga RM200,000 setiap bulan untuk membantu mereka yang memerlukan. Semua permohonan akan melalui proses semakan oleh yayasan sebelum ia diluluskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas acara larian Go Green Charity 2.0 anjuran PEKEMA di sini hari ini.

Mengulas penganjuran edisi kedua larian itu, Mohamed Nazari berkata, ia bukan sekadar acara sukan, tetapi menjadi platform PEKEMA untuk menyantuni masyarakat serta menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan.

Jelasnya, sempena acara tersebut, PEKEMA menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada dua pusat tahfiz dan RM30,000 kepada 10 bekas atlet veteran negara, termasuk bekas atlet para, sebagai tanda penghargaan kepada kumpulan itu yang pernah mengharumkan nama negara.

Dalam perkembangan berlainan, Mohamed Nazari berkata, kenderaan elektrik (EV) jenama Dongfeng yang dibawa masuk oleh persatuan itu, kini menawarkan tiga model iaitu Dongfeng Box, Vigo dan 007.

Katanya, walaupun persaingan pasaran EV semakin kompetitif dengan kehadiran pelbagai jenama, PEKEMA yakin Dongfeng akan terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN