CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah memproses bayaran balik cukai berjumlah RM18 bilion melibatkan 3,542,859 kes setakat 22 Disember lalu.
Menurut HASiL, daripada peruntukan tambahan berjumlah RM4 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, sebanyak RM3 bilion telah diproses dan dikreditkan dalam tempoh 9 hingga 22 Disember lalu melibatkan 20,930 kes.
Katanya, baki RM1 bilion peruntukan tambahan akan diproses dan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.
“Dana tambahan RM1 bilion pertama yang diperuntukkan telah berjaya menyelesaikan tunggakan bayaran balik yang berusia melebihi tiga tahun tanpa mengambil kira jumlah yang terlibat.
“Manakala dana RM2 bilion berikutnya telah selesai diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun bayaran balik yang berusia dua ke tiga tahun dengan tumpuan diberikan kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
HASiL juga ingin menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada HASiL adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.
Ini kerana, katanya, terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan akaun bank yang betul.
“Tiada bayaran balik dapat diproses kerana melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan.
“HASiL akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dan keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya. – UTUSAN










