RM10.8 juta baik pulih cerun runtuh di Wang Kelian

RM10.8 juta baik pulih cerun runtuh di Wang Kelian

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail meninjau lokasi kejadian tanah runtuh ekoran banjir di Wang Kelian, Padang Besar, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kementerian Kerja Raya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10.8 juta bagi membaik pulih cerun runtuh di Wang Kelian di sini.

Peruntukan tersebut diluluskan pada 1 Disember lalu bagi me­laksanakan kerja-kerja membaik pulih beberapa lokasi sepanjang laluan FT226 Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian serta jalan pagar ke­selamatan Bukit Kuan Choh.

Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Ir. Norikhwan Abu Seman berkata, kerja awalan dijangka dalam masa terdekat, manakala kerja-kerja pembaikan utama pula dijadual bermula pada Januari 2026.

Katanya, tempoh keseluruhan pembaikan dianggarkan mengambil masa antara enam hingga 12 bulan, bergantung kepada keadaan cuaca dan tahap kerosakan.

“Pelaksanaan kerja baik pulih akan melibatkan beberapa kaedah teknik cerun seperti ‘Tie Back Wall’, ‘Soil Nailing’, ‘ECM’ dan ‘Hydromulching’, dan ‘Rockfall Netting’. Pendekatan teknikal ini dipilih bagi memastikan kestabilan cerun dalam jangka panjang sekali gus me­ningkatkan keselamatan laluan kepada pengguna,” katanya.

Beliau menyampaikan perkara itu ketika mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Wang Kelian, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, banjir besar melanda Perlis menyaksikan 11 lokasi di sepanjang laluan utama yang menghubungkan Wang Kelian ke Wang Prachan, Thailand mengalami tanah runtuh.

Norikhwan memberitahu, la­luan FT226 Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian masih ditutup kepada orang awam, namun pergerakan kenderaan secara berjadual dibenarkan bagi kenderaan tidak melebihi tiga tan metrik.

“Dari pukul 7 pagi hingga 7 malam, laluan ini dibuka secara terhad kepada penduduk setempat, kenderaan terlibat dalam kerja-kerja pembaikan serta pelancong atau individu yang ingin mengambil kende­raan terkandas.

“Dari pukul 7 malam hingga 7 pagi, pergerakan dihadkan kepada penduduk kampung, pasukan pembaikan dan urusan kecemasan sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN