PETALING JAYA: Sejarah bakal tercipta sempena Konsert Malam 3 Suara pada 14 Disember ini kerana buat pertama kalinya tiga penyanyi terkenal Indonesia akan berkongsi pentas di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Julung kali Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito disatukan dalam sebuah konsert yang diadakan khusus untuk peminat di Malaysia.
“Konsert ini adalah yang pertama kali, bahkan di Indonesia kami belum pernah sepentas meskipun kami bertiga ini bersahabat.
“Tentunya ada banyak kejutan dan persembahan visual juga agak berlainan kali ini.
“Yang penting peminat saya akan melihat sisi muzikal saya yang berlainan kerana julung kalinya juga saya akan keluar zon selesa dengan menyanyikan lagu-lagu yang berlainan dengan genre yang sering saya bawakan.
“Khusus untuk peminat kami di Malaysia, memori bakal tercipta pada konsert Malam 3 Suara nanti,” katanya sempena sidang media secara dalam talian yang diadakan baru-baru ini.
Rizky yang teruja untuk untuk bergabung dengan dua rakan baiknya itu turut menjanjikan persembahan terbaik dan luar biasa pada 14 Disember ini.
“Ramai pencinta muzik kami di Malaysia. Kami teruja setiap kali berpeluang membuat persembahan di sana kerana maklum balas yang kami terima luar biasa.
“Kali ini, persembahan kami lebih istimewa. Peminat akan disajikan dengan lagu kami yang susunannya digubah khas untuk konsert ini.
“Dan buat pertama kali, peminat dapat menyaksikan kami bertukar lagu dan berduet antara satu dengan lain,” katanya.
Sementara itu, Anggi Marito meluahkan rasa teruja untuk bertemu peminat di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada Ahad ini.
“Penghargaan peminat di Malaysia terhadap muzik kami benar-benar luar biasa.
“Kami bertiga tidak sabar untuk menghadiahkan persembahan istimewa dan eksklusif di Kuala Lumpur.
“Malam 3 Suara bukan sekadar malam untuk kita bergalau, tetapi juga bakal menjadi satu malam gembira dan menyenangkan,” katanya.
Tiket berharga antara RM238 hingga RM448 masih boleh ditempah menerusi laman www.ticket2u.com. – UTUSAN











