PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan memulakan tugas pertamanya hari ini dengan menggulung Rang Undang-Undang Pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 atau Akta 4, di Dewan Negara tengah hari ini.
Menurutnya, Akta 4 itu penting kerana ia menawarkan perlindungan 24 jam kepada pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Akta itu memberikan perlindungan kepada semua pekerja formal dimana ia diperluas dengan liputan menyeluruh tidak terhad kepada waktu bekerja sahaja.
“Ketika ini, pekerja hanya tertakluk kepada polisi perlindungan yang hanya menawarkan perlindungan jika berlaku kemalangan waktu bekerja sahaja daripada PERKESO.
“Tetapi, apa jadi kalau kemalangan tersebut telah berlaku selepas mereka bekerja, ataupun semasa mereka bercuti, atau semasa mereka dalam perjalanan balik ke rumah.
“Tidak siapa yang boleh bantu mereka atau menanggung beban yang mereka dapat mungkin atau dua bulan, atau empat bulan atau enam bulan selepas itu.l,” katanya pada sidang akhbar selepas melapor diri hari pertama sebagai Menteri Sumber Manusia di Menara PERKESO, di sini hari ini.
Katanya, jika pekerja itu lumpuh atau meninggal dunia, pekerja dan waris mereka akan dilindungi dengan bantuan seumur hidup menerusi penguatkuasaan Akta 4 itu.
Akta 4 merujuk kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, yang menawarkan perlindungan seperti rawatan perubatan, faedah hilang upaya, pencen penakat, cuti sakit bergaji dan bantuan pengurusan mayat, dengan caruman wajib oleh majikan dan pekerja. – UTUSAN










