Pulau Pinang komited perkukuh kerjasama strategik dengan Intel

Pulau Pinang komited perkukuh kerjasama strategik dengan Intel

CHOW Kon Yeow (lima dari kiri) ketika menerima kunjungan hormat delegasi Intel Corporation yang diketuai oleh Lip-Bu Tan (lima dari kanan) di George Town, Pulau Pinang, hari ini.-GAMBAR/PEJABAT KETUA MENTERI PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuh hubungan strategik jangka panjang dengan syarikat teknologi terkemuka, Intel Corporation susulan pembangunan fasiliti pembungkusan semikonduktor termaju di Bayan Lepas yang ketika ini telah hampir siap sepenuhnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya mengikuti rapat perkembangan projek tersebut iaitu sejak beberapa tahun lalu, terutamanya selepas era pandemik Covid-19 dan dimaklumkan bahawa pembinaannya berjalan mengikut jadual.

“Kami dimaklumkan bahawa proses pembinaan fasiliti itu berjalan lancar dan Sijil Perakuan Siap dijangka diperoleh tidak lama lagi,” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi Intel yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Lip-Bu Tan, di pejabat Ketua Menteri, hari ini.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri juga bersedia memberikan bantuan sewajarnya bagi memastikan projek mega yang dianggarkan menelan kos berjumlah lebih RM30 bilion itu disempurnakan mengikut keperluan dan kepentingan industri.

Jelas beliau, Intel merupakan sebahagian besar daripada pembangunan industri di Pulau Pinang sejak lima dekad yang lalu dan kewujudan fasiliti terbaharu itu dianggap sebagai aset bukan sahaja kepada Bayan Lepas, tetapi, ekosistem industri di negeri ini secara keseluruhannya.

Sementara itu, Tan dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan terhadap hubungan sejarah yang panjang antara Intel dan Malaysia sejak syarikat tersebut memulakan operasinya di Pulau Pinang pada 1972.

Beliau berkata, Pulau Pinang kekal sebagai nod strategik global bagi Intel khususnya dalam bidang pembungkusan termaju yang dianggap komponen kritikal dalam rantaian bekalan pembuatan semikonduktor dunia.

“AI (kecerdasan buatan) sedang mengubah segala-galanya dan dalam tempoh dua tahun yang akan datang, seluruh rantaian bekalan global dijangka melalui cabaran terbesar. Justeru, peranan Pulau Pinang amat signifikan dalam menghadapi perubahan ini,” katanya.

Tambah beliau, Intel juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan universiti tempatan dalam bidang kejuruteraan dan sains data bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan berkemahiran tinggi pada masa depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN