PTD ditahan di pusat sauna diarah letak jawatan serta-merta

PTD ditahan di pusat sauna diarah letak jawatan serta-merta

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) berkhidmat di Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditahan terlibat aktiviti songsang di sebuah pusat sauna telah diarahkan meletakkan jawatan serta-merta.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pada masa sama, Unit Integriti KPT juga telah memulakan siasatan dalaman ke arah tindakan tatatertib mengikut ketetapan peraturan perkhidmatan.

“Saya mengambil maklum laporan berhubung penahanan salah seorang PTD yang berkhidmat di pejabat saya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

“Kementerian telah mengambil beberapa tindakan tegas bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.

“Pegawai berkenaan telah diarahkan meletakkan jawatan serta-merta daripada pejabat Timbalan Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya, tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola yang mana sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan Unit Integriti serta kerjasama pihak berkuasa.

“Sebagai Timbalan Menteri, saya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disyaki menjadi tempat lelaki songsang berkumpul terbongkar selepas serbuan dilakukan pihak berkuasa termasuk Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Premis tiga tingkat itu menempatkan gimnasium di tingkat bawah, manakala tingkat atas dijadikan sauna, jakuzi dan sebuah ‘dark room’ khas untuk aktiviti tidak bermoral.

Dalam operasi itu, seramai 201 individu ditahan termasuk tujuh pekerja premis, dengan 24 daripadanya warga asing.

Lebih mengejutkan, seramai 17 penjawat awam turut ditahan dalam serbuan berkenaan, melibatkan pelbagai jawatan termasuk doktor pakar, guru, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik serta pegawai agensi penguatkuasaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN