Proses tunda kenderaan dari Hat Yai ambil masa

Proses tunda kenderaan dari Hat Yai ambil masa

KENDERAAN milik rakyat Malaysia yang ditunda oleh trak tunda negara ini dari Hat Yai ke Bukit Kayu Hitam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Proses menunda lebih 500 kenderaan rakyat Malaysia yang tenggelam banjir di Hat Yai, Thailand akan mengambil masa kerana hanya 20 trak tunda dari negara ini dibenarkan beroperasi di bandar tersebut.

Kesemua 20 trak tunda itu mendapat kebenaran khas daripada kerajaan Thailand hasil kerjasama pengusaha terlibat dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi mempercepatkan proses berkenaan.

Menurut pengusaha perkhidmatan itu, Mohd. Akmal Aniq Shahabuddin, trak tunda Malaysia sememangnya tidak boleh mengangkut kenderaan di Thailand meskipun bukan kerosakan akibat banjir, sebelum ini.

“Biasanya jika kereta rakyat Malaysia perlu ditunda dari Thailand, memang trak tunda negara itu sahaja boleh digunakan untuk bawa kenderaan kita sehingga ke sempadan.

“Cuma kali ini kerajaan Thailand bagi kebenaran khas kepada 20 trak tunda Malaysia termasuk saya untuk ke Hat Yai dan mengangkut pulang ken­deraan yang terjejas banjir terus ke tanah air,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Akmal Aniq mengakui, kuota 20 trak tunda itu tidak mencukupi untuk menunda kesemua kenderaan rakyat Malaysia buat masa ini, dan selebihnya perlu bergantung kepada perkhidmatan trak tunda Thailand.

“Hanya 20 trak tunda Malaysia boleh berulang-alik antara Hat Yai ke Bukit Kayu Hitam dalam tempoh kebenaran ini, jadi memang akan ambil masa kerana trak tunda Thailand juga sedang menunda kenderaan rakyat mereka yang turut rosak akibat banjir,” katanya.

Katanya, lebih 100 kenderaan pelbagai jenama termasuk Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Toyota Wish, Jaecoo, Honda City dan Perodua Myvi berjaya ditunda mereka setakat ini sejak menerima kebenaran khas itu, Sabtu lalu.

Sementara itu, Mohd. Akmal Aniq berkata, operasi menunda juga berdepan kesukaran apabila sebahagian kenderaan terbalik serta beralih daripada kedudukan asal.

“Proses agak sukar kerana ada kenderaan terbalik, beralih kedudukan akibat dihanyutkan air selain terhalang dengan kenderaan lain. Selain itu, banyak juga kenderaan yang masih berada di aras bawah tanah tempat letak kenderaan hotel yang masih digenangi air.

“Semua kenderaan yang tenggelam dalam banjir enjinnya tak boleh dihidupkan. Lebih sukar bagi kenderaan yang banyak guna sistem elektronik kerana tayar terkunci secara automatik.

“Bagi kenderaan yang tenggelam sepenuhnya, kita perlu guna tayar sokongan kecil untuk dinaikkan ke atas trak tunda untuk melindungi kotak gear. Proses ini mengambil masa antara 15 minit hingga lebih satu jam,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN