MELAKA: Kerajaan negeri mewujudkan Koridor Ekonomi Anjung Selatan (ZEAS) melibatkan tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, cadangan mewujudkan zon tersebut sebagai medium terbaik mampu menjana pertumbuhan ekonomi mampan di ketiga-tiga negeri terbabit.
Menurutnya, zon tersebut dijangka akan melengkapkan pembangunan infrastruktur dan meningkatkan ekonomi negeri melalui pelbagai sektor termasuk perindustrian, pelancongan serta pertanian.
“Pembangunan zon ini juga dijangka dapat menarik pelaburan baharu, mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan ekonomi setempat serta menggalakkan pertumbuhan saksama dan inklusif bagi ketiga-tiga negeri yang terlibat.
“Secara dasar Johor dan Negeri Sembilan menyambut baik cadangan itu yang akan memberi limpahan ekonomi kepada rakyat di tiga negeri terlibat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, hari ini.
Ab. Rauf (BN-Tanjong Bidara) menjawab soalan Datuk Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) mengenai adakah Sungai Rambai termasuk dalam pelan pembangunan ZEAS bagi merancakkan aktiviti ekonomi dan menarik pelaburan tempatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sesi perbincangan bersama pihak Kementerian Ekonomi dan ketiga-tiga negeri telah diadakan pada 13 Oktober lalu.
Menurutnya, pihak kementerian menyambut baik cadangan penubuhan ZEAS namun pada masa ini Kerajaan Persekutuan tidak lagi menubuhkan koridor pembangunan baharu.
“Ini kerana koridor-koridor pembangunan sedia ada sedang dikaji semula bagi menilai tahap keberkesanan selepas lebih 25 tahun pelaksanaannya,” katanya. – UTUSAN









