KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf Terminal Feri Kenderaan dan Penumpang Wilayah Persekutuan Labuan yang menelan kos sebanyak RM20.3 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang April 2028.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, terminal itu memainkan peranan strategik sebagai satu-satunya kemudahan feri utama yang menghubungkan Pulau Labuan dengan tanah besar Sabah.
Katanya, terminal itu juga menyokong aliran pergerakan penumpang, kenderaan, logistik, dan aktiviti perdagangan
“Seiring pertumbuhan bilangan pengguna dan peningkatan aktiviti ekonomi, infrastruktur sedia ada semakin menanggung tekanan operasi.
“Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk menyediakan kemudahan yang lebih moden, selamat dan berkapasiti tinggi,” katanya yang diwakili Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Roslan Ismail di Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) projek berkenaan di ibu negara di sini, hari ini.
Alexander berkata, antara skop kerja yang terlibat dalam projek menaik taraf ini termasuk pelebaran ruang menunggu kenderaan, pembinaan kaunter tiket baharu dan pembaikan struktur ramp utama.
Selain itu, katanya, menaiktaraf ramp kedua, kerja-kerja menambak, pembinaan ruang menunggu penumpang, ruang pemeriksaan agensi-agensi, kerja-kerja naiktaraf kawasan hard standing dan pelbagai kerja yang berkaitan.
Tambahnya, kerajaan berhasrat projek itu akan mewujudkan kemudahan yang lebih selamat, teratur dan berkapasiti tinggi bagi menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat saban tahun.
“Penaiktarafan ini bertujuan memperkasa kecekapan operasi terminal, merangsang pertumbuhan ekonomi Labuan melalui pengembangan sektor perdagangan dan pelancongan, serta memastikan akses pengangkutan yang lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
“Projek ini juga adalah projek Kementerian Pengangkutan Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Rolling Plan 5,” katanya.
Projek itu telah diberikan kepada CitaGlobal Land Sdn. Bhd dan dilaksanakan secara reka dan bina. – UTUSAN










