CYBERJAYA: Kerajaan mensasarkan kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung sempena Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 (Rancakkan Madani) yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok, di Dataran Putrajaya.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik akan disediakan kepada orang ramai, melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat.
“Macam-macam acara ada, program kita kali ini untuk semua orang daripada peminat kucing, yang rambut sudah panjang boleh potong rambut percuma, kalau penunggang dan pembonceng motosikal kita ada sediakan 5,000 topi kaledar percuma,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan bagi menyantuni pengguna MRT di Stesen Cyberjaya City Centre dan Stesen Putrajaya Sentral, dekat sini hari ini.
Shamsul Azri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Rancakkan MADANI berkata, program itu turut menawarkan kira-kira 5,000 kekosongan kerja melibatkan pelbagai jawatan.
Selain itu, program Rancakkan Madani turut menampilkan segmen Kepengerusian ASEAN yang diselaraskan Kementerian Luar dengan pelbagai aktiviti antaranya pameran replika ASEAN Summit Dome, sorotan pencapaian sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 dan sesi libat urus serta aktiviti interaktif bersama pengunjung. – UTUSAN










