PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan N.58 Lamag, Sabah dijalankan serentak pada 24 Januari depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun turut memaklumkan, tarikh penamaan calon pula adalah pada 10 Januari, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 20 Januari 2026.
“Sejumlah 48,722 pemilih terlibat bagi dua PRK itu membabitkan peruntukan kos kira-kira sebanyak RM10 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK berkenaan di sini hari ini.
PRK Kinabatangan dan Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu di sebuah pusat perubatan di Kota Kinabalu, Sabah.
Bung Moktar, 66, mempertahankan kerusi Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 baru-baru ini dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Pada Pilihan Raya Umum ke-10 iaitu pada November 1999, beliau memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.
Dilahirkan pada 15 Sept 1959 di Sukau, Kinabatangan, Allahyarham meninggalkan isteri Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak. – UTUSAN










