KUALA LUMPUR: Polis menyiasat insiden sebuah treler membawa muatan helikopter di jalan awam sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu yang tular di TikTok pada pukul 8.06 malam tadi.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku di Kesas menghala ke susur arah Jalan Persiaran Kewajipan di Subang Jaya, kira-kira pukul 4.30 petang pada 4 Disember lalu.
“Siasatan awal mendapati treler membawa muatan sebuah helikopter tidak dapat melalui susur jalan tersebut akibat muatan terlalu panjang hingga mengakibatkan kesesakan dan mengganggu pengguna jalan raya lain dan sebuah ambulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, pihak polis bagaimanapun masih belum mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat.
“Kes disiasat di bawah kaedah Rule 9(2) LN 166/59. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd. Azizul Halim Roslan di talian 011-28914495,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebuah lori membawa muatan helikopter dipercayai tersangkut di susur lebuh raya sehingga menyebabkan kesesakan trafik.
Kejadian dipercayai berlaku di laluan berhampiran Bandar Sunway dirakam oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan. – UTUSAN








