PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima sekeping cakera padat (CD) mengandungi rakaman audio yang dipercayai berkait insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, CD mengandungi rakaman perbualan telefon antara suspek dan isterinya itu diserahkan oleh ahli keluarga salah seorang suspek terlibat.
Katanya, pasukan khas diketuai pegawai kanan berpangkat Senior Assistant Commissioner (SAC) juga ditubuhkan bagi mengendalikan siasatan secara menyeluruh di peringkat Bukit Aman.
“Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menubuhkan pasukan siasatan khas. Langkah ini diambil bagi memastikan setiap aspek siasatan diteliti secara teratur, profesional dan tanpa sebarang kompromi.
“PDRM menegaskan komitmen untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan berintegriti, serta tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 24 November lalu, media melaporkan, tiga penyamun ditembak mati oleh sepasukan polis selepas menetak salah seorang anggota berpangkat koperal ketika cuba ditahan dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Kumpulan digelar ‘Geng DT’ itu terdiri daripada dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 29 tahun dipercayai terbabit dalam 20 kes pecah rumah dan bangunan sejak tahun 2024 dengan kerugian mencecah RM1.3 juta.
Dalam pada itu, Mohd. Khalid juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat salah sepanjang siasatan berlangsung.
“Masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan integriti siasatan yang sedang dijalankan.
“PDRM turut mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berhubung insiden ini melalui
talian hotline 019-376 4763 dan menghargai kerjasama masyarakat dalam usaha menjaga keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN










