SEREMBAN: Identiti mayat wanita dalam beg yang ditemukan ditanam di belakang sebuah rumah di Rembau dekat sini pada 18 Disember lalu disahkan sebagai Suri Narudin, individu yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan identiti dibuat hasil pemeriksaan cap jari dan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan.
Katanya, satu set cap jari telah dikemukakan kepada Pejabat Pendaftaran Penjenayah Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk tujuan perbandingan.
“Berdasarkan pemeriksaan dan perbandingan cap jari, pihak polis mengesahkan bahawa cap jari berkenaan sepadan dengan rekod dalam Sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atas nama Suri Narudin yang dilaporkan hilang berdasarkan laporan polis di Balai Polis Ampang pada 15 Disember lalu.
“Hasil keputusan analisis DNA turut menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat iaitu adik-beradik kandung dengan kebarangkalian yang sangat tinggi, sekali gus mengukuhkan proses pengesahan identiti mayat sebagai Suri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 18 Disember lalu, mayat seorang wanita ditemukan dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Pedas-Linggi di Rembau yang dikaitkan dengan kehilangan seorang wanita berusia 53 tahun sejak 8 Disember lalu.
Susulan itu, polis berjaya menahan dua lelaki masing-masing di Melaka dan Genting Sempah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










