SUNGAI PETANI: Polis memberkas seorang lelaki yang dipercayai mengugut jirannya dengan pistol dalam kejadian di Bandar Laguna Merbok, di sini.
Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi tadi, polis menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyatakan suspek berusia 30-an itu mengacu senjata terbabit terhadapnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek dan jirannya dipercayai bertengkar sebelum itu dan terdapat video mengenai kejadian yang turut dirakam.
“Kita akan siasat lebih lanjut kejadian ini termasuk sama ada suspek mempunyai lesen mengendalikan senjata atau tidak selain siasatan berkaitan dadah.
“Selain pistol, kita turut merampas sejumlah dadah yang kini masih dalam siasatan selain ujian saringan air kencing terhadap suspek,” katanya di lokasi kejadian hari ini.
Hanyan berkata, siasatan dilakukan di bawah Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, mangsa berusia 70-an yang enggan dikenali mendakwa suspek secara tiba-tiba datang dan menendang pagar rumahnya, pagi tadi.
“Dia datang ke rumah dan marah-marah. Waktu itu saya minum kopi di belakang. Dia tendang pintu pagar rumah dan apabila saya pergi ke depan, lelaki itu terus tunjuk pistol kepada saya.
“Saya terus telefon polis kerana takut apa-apa jadi sebelum sepasukan polis datang buat siasatan,” katanya. – UTUSAN










