Dua pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Ungku Omar (PUO), Prebet Fawwaz Juman Mohamed Fareed dan Prebet Ahmad Nazril Afeeq Ahmad Jaswira baru-baru ini dipilih menyertai tugasan khas sempena musim tengkujuh sebagai anggota Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) PUO.
Mereka ditugaskan di Pejabat Pertahanan Awam Negeri Perak, Jalan Sultan Abdul Jalil, Ipoh bermula 28 November hingga 31 Disember lalu.
Tugas utama termasuk menerima laporan kecemasan dan membuat catatan rasmi melalui sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services (NG MERS 999).
Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh berkata, penyertaan pelajar PUO dalam operasi sebenar seperti itu membuktikan keupayaan institusi TVET dalam membentuk pelajar bukan sahaja dari aspek teknikal, tetapi juga dalam kemahiran insaniah, kesukarelawanan dan kepimpinan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Angkatan Pertahanan Awam APM) dan pihak berkaitan atas peluang dan kepercayaan yang diberikan kepada pelajar PUO. –UTUSAN










