Pindah awal elak terperangkap banjir

Pindah awal elak terperangkap banjir

JALAN masuk ke Kampung Selat Manggis dan Kampung Sungai Kerawai di Teluk Intan yang dinaiki banjir ketika tinjauan semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pengalaman pahit lebih 300 penduduk Kampung Selat Manggis dan Kampung Sungai Kerawai terperangkap selama seminggu ketika banjir besar 2021 mendorong ketua kampung bertindak pantas apabila paras air mula naik minggu lalu.

Dalam kejadian 2021, lalu­an keluar masuk kampung tenggelam sepenuhnya, menye­babkan penduduk tidak dapat menyelamatkan diri dan bantuan sukar disalurkan.

Bagi mengelakkan kejadian itu berulang, arahan perpindahan dikeluarkan segera sebaik banjir mula memasuki kampung Isnin lalu.

Ketika ini, kedua-dua kampung pedalaman itu hanya boleh diakses menggunakan sampan selepas air naik terlalu tinggi untuk dilalui kenderaan. Di Kampung Sungai Kerawai sahaja terdapat 24 rumah yang kini di­tinggalkan kosong selepas semua penghuni diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Kampung Sungai Kera­wai, Mohd. Aliff Kamaruddin, berkata tindakan awal penting kerana peningkatan paras air berlaku terlalu cepat.

“Memang ada mangsa berat hati berpindah, tetapi kami tidak mahu tragedi lama berulang. Air naik mendadak dan berbahaya jika mereka terus berada di rumah. Setelah dipujuk, mereka bersetuju ke PPS,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rondaan turut dilakukan bagi memastikan tiada penduduk tercicir daripada proses pemindahan.

“Saya bersyukur semua mang­sa berada dalam keadaan selamat. Di PPS, agensi berkaitan lebih mudah menguruskan kebajikan mereka,” katanya.

Seorang penduduk, Md. Ngi­min Sawidin, 81, berkata banjir kali ini adalah yang kedua sebesar ini melanda kampung tersebut.

“Hujan terlalu lebat dan su­ngai berhampiran melimpah dengan cepat. Kami tidak sempat menyelamatkan peralatan rumah,” katanya.

Sementara itu, seramai 9,067 mangsa banjir daripada 2,852 keluarga masih berlindung di 79 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri setakat pukul 6 petang semalam, menurut portal

Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Perak terus menjadi negeri paling terjejas dengan 3,837 mangsa melibatkan 1,126 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN