Pindaan akta Finas diluluskan, pastikan ekosistem produksi lebih selamat - Utusan Malaysia

Pindaan akta Finas diluluskan, pastikan ekosistem produksi lebih selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 (Akta 244) sekali gus menandakan fasa baharu dalam usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus, fungsi kawal selia dan kebajikan pekerja industri perfileman.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa langkah tersebut turut memastikan perbadanan itu kekal relevan dan efektif dalam memacu pembangunan sektor berkenaan.

Melalui pindaan itu, Akta Finas 1981 diselaraskan dengan keperluan semasa industri dan perkembangan teknologi baharu, termasuk platform digital over-the-top (OTT) serta peningkatan produksi kandungan kreatif tempatan.

“Pindaan turut memastikan dasar dan peraturan subsidiari FINAS lebih responsif dan menyokong pembangunan jangka panjang industri perfileman.

“Walaupun platform video-on-demand (VOD) merupakan sebahagian ekosistem

kandungan hari ini, penyedia OTT kekal dikecualikan daripada pelesenan.

“Bagi platform digital, hanya aktiviti produksi dan pengedaran filem tertakluk di bawah Finas, manakala pemameran hanya boleh dikuatkuasakan sekiranya wujud pelesenan VOD di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” menurut kenyataan itu.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 dibentangkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan diluluskan Dewan Rakyat pada Rabu lepas.

Finas memaklumkan, pindaan itu juga mengukuhkan lagi kefahaman bahawa Akta 244 meliputi semua bentuk aktiviti pengeluaran dan pengedaran komersial termasuk filem, drama, dokumentari, animasi dan iklan yang ditayangkan di TV, satelit, pawagam, OTT serta media sosial.

“Kerajaan menegaskan bahawa pindaan ini bukan bertujuan menyekat kreativiti, tetapi memastikan ekosistem produksi yang lebih selamat, teratur dan profesional,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa selaras dengan pindaan, Finas akan memperincikan perlindungan dalam peraturan subsidiari.

Hal ini termasuk kebajikan kru dan pekerja produksi, kontrak standard, jaminan pembayaran dan keselamatan kerja, perlindungan insurans seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta keselamatan produksi dan set penggambaran. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN