MENJADI impian ramai penyanyi tempatan, lebih-lebih lagi penyanyi baharu untuk menyanyikan lagu ciptaan komposer Indonesia.
Malah, trend tersebut semakin ketara selepas kerjasama terjalin membabitkan beberapa penyanyi kita, antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Aina Abdul, Misha Omar, Ara Johari, Bella Astillah dengan pencipta lagu seberang.
Naib juara pertandingan Calpis Soda One In A Million OIAM), Kai Deva bagaimanapun tidak tergesa-gesa menyusul jejak penyanyi-penyanyi tersebut meskipun beberapa kali ditawarkan komposer Indonesia, Ilham Baso untuk menyanyikan lagunya.
Bagi Firdaus Deva, tidak perlu terburu-buru mengejar impian meskipun keinginannya untuk menyanyikan lagu komposer Indonesia, cukup menebal.
“Ilham beberapa kali menawarkan saya menyanyikan lagunya, tapi belum ada kepastian daripada pihak saya.
“Bukan saya tidak mahu, malah itu adalah impian saya. Tapi, saya perlu membuat keputusan yang benar-benar tepat dengan memastikan lagu yang saya nyanyikan itu kelak berimpak tinggi untuk karier saya dan berpotensi besar menangkap minat pendengar.
“Bekerjasama dengan Ilham Baso adalah peluang keemasan. Apatah lagi lagu ciptaannya, Menjaga Jodoh Orang Lain yang dinyanyikan Ara Johari, mendapat sambutan memberangsangkan di Malaysia. Dan dia juga merupakan komposer yang pernah menyumbangkan lagu kepada penyanyi kegemaran saya iaitu Judika.
“Tapi, saya harus memilih lagu yang tepat. Tambah lagi, bukan murah untuk mendapatkan karya sentuhan Ilham, ada harga yang harus dibayarkan,” katanya kepada Pancaindera, baru-baru ini.
Kai yang sebelum ini muncul dengan single Benar Indah, tidak menolak bahawa kolaborasi dengan komposer Indonesia menjadi antara strategi yang bagus untuk menaikkan penyanyi baharu.
“Ramai penyanyi baharu muncul sekarang ini. Persaingan menjadi sengit. Saya tidak nafikan, untuk mencipta nama, tidak mudah.
“Tapi karier seni saya kena berjalan supaya saya dapat bertahan dan menjadi relevan pada masa sekarang dan akan datang.
“Nak meyakinkan pendengar untuk sukakan lagu dan nyanyian kita bukan mudah. Disebabkan itu kena ada lagu yang betul-betul bagus dan sesuai,” kongsinya.
TIDAK LUPA ASAL
Kai tidak pernah lupa akan latar belakangnya sebagai penyanyi jalanan yang menghiburkan ramai orang di tengah kesibukan Kuala Lumpur.
Malah, dalam kesibukan merencana perjalanan karier nyanyian, penyanyi yang berasal dari Ipoh, Perak ini tetap sekali sekala turun padang ke Bukit Bintang untuk menghiburkan masyarakat.
“Ya, saya masih busking. Tetapi tidaklah sekerap dulu, kalau ada kelapangan, saya ke Bukit Bintang.
“Bagi saya, tak ada masalah untuk penyanyi rakam sertai aktiviti menyanyi di jalanan. Apatah lagi, saya ini masih baru, perlu rancak memperkenalkan diri dan lagu kepada khalayak.
“Jadi, dalam seminggu, sekurang-kurangnya sekali saya akan menyanyi di Bukit Bintang kerana ada dalam kalangan mereka yang pernah menyaksikan saya menyanyi di sana, minta saya kembali sekali sekala,” kongsinya.-UTUSAN










