Permudah prosedur nikah, bendung kahwin di Thailand

Permudah prosedur nikah, bendung kahwin di Thailand

MOHD. SUKKI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mencari pendekatan penyelesaian dengan mempermudahkan proses pernikahan dalam negara bagi membendung trend perkahwinan di Thailand yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, prosedur pernikahan dalam negara perlu ditambah baik bagi memastikan masyarakat tidak terus bergantung kepada nikah luar sempadan serta mengelakkan risiko yang lebih besar pada masa depan.

Katanya, pasangan kini cen­derung memilih bernikah di Thailand kerana melihat pro­sesnya lebih mudah dan ringkas berbanding melalui permoho­nan, temu duga serta kelulusan rasmi di negara ini termasuk bagi kes poligami yang memerlukan pengesahan Mahkamah Syariah.

“Trend ini tercetus atas pelbagai faktor. Ada pasangan yang melihat prosedur pernikahan di Malaysia sebagai sesuatu yang panjang, memerlukan permohonan, temu duga, kelulusan dan dokumentasi undang-undang.

“Ada juga pasangan yang merasakan perkahwinan rahsia lebih mudah kerana bimbang tidak mendapat restu ibu bapa dan tidak mendapat persetujuan isteri pertama dalam pernikahan poligami.

“Pendek kata, motivasi utama nikah di Thailand ialah kemudahan dalam proses pernikahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

November lalu, akhbar ini melaporkan, Betong, Thailand kini muncul sebagai destinasi baharu pilihan rakyat Malaysia untuk melangsungkan pernikahan susulan banjir yang melanda sehingga menjejaskan laluan ke wilayah Satun dan Songkhla.

Data pe­rangkaan yang diperoleh melalui Pejabat Aga­ma Islam Selatan Thailand turut menunjukkan peningkatan mendadak jumlah pernikahan rakyat Malaysia di Thailand iaitu kira-kira 300 pasangan berkahwin setiap bulan untuk lima wilayah iaitu Wilayah Satun, Songkhla, Yala, Narathiwat dan Patani.

Mengulas risiko terhadap pa­sangan dan keluarga, Mohd. Sukki berkata, pernikahan di Thailand dianggap sah dari sudut syarak sekiranya rukun dan syarat dipenuhi, namun ia tidak diiktiraf secara automatik di Malaysia selagi belum didaftarkan melalui Mahkamah Syariah dan pejabat agama.

Katanya, kegagalan mendaf­tarkan perkahwinan membuka ruang kepada pelbagai komplikasi termasuk pendaftaran kelahiran, hak penjagaan anak, tuntutan nafkah dan harta sepencarian sekiranya berlaku perceraian.

“Dari sudut undang-undang Malaysia, pernikahan itu tidak wujud sehingga ia didaftarkan melalui Mahkamah Syariah dan pejabat agama. Di sinilah wujudnya jurang perundangan yang sering mengundang masalah.

“Komplikasi paling besar adalah apabila pasangan tidak mendaftarkan perkahwinan tersebut. Anak yang dilahirkan mungkin berstatus tidak sah taraf menurut rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) walaupun anak itu sah dari sudut syarak.

“Ini menimbulkan tekanan emosi dan psikologi bukan sahaja kepada ibu, tetapi kepada anak itu sepanjang hayatnya,” katanya.

Beliau menegaskan, perkahwinan bukan keputusan sementara kerana ia menentukan masa depan pasangan dan kesejahteraan institusi kekeluargaan.

“Perkahwinan bukan keputusan spontan atau sementara. Ia adalah institusi yang menentukan masa depan keluarga, kestabilan rumah tangga dan kebaji­kan anak-anak.

“Nikah di Thailand mungkin kelihatan mudah pada permulaan, tetapi ia membawa beban dan risiko undang-undang yang besar jika tidak diuruskan secara bertanggungjawab,” katanya.. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN