PUTRAJAYA, Pengurusan permohonan penggajian tenaga kerja asing bagi sektor perkhidmatan bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini menghampiri had kuota ditetapkan kerajaan bagi tahun ini iaitu sebanyak 30,000 kuota.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, bagi memastikan pengurusan permohonan dilaksanakan secara teratur dan selaras dengan ketetapan kuota yang diluluskan, permohonan kuota itu melalui Pusat Sehenti (OSC) Pengurusan Pekerja Asing akan ditutup lebih awal iaitu mulai Jumaat ini.
“Walau bagaimanapun, permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi sektor dan subsektor lain yang dibenarkan masih dibuka sehingga 31 Disember ini tertakluk pada ketetapan sedia ada.
“Oleh itu, semua majikan yang berhasrat untuk menggajikan pekerja asing bagi sektor berkenaan hendaklah memastikan permohonan dikemukakan sebelum tarikh tutup tertakluk pada syarat dan peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya hari ini
KDN berkata, pihak majikan boleh merujuk laman sesawang rasmi KDN dan KPDN, serta hebahan rasmi yang dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi kerajaan. – UTUSAN










