SHAH ALAM: Tindakan pusat beli-belah yang membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan secara terbuka ke dalam premis itu tidak wajar berulang kembali kerana mencetus kebimbangan serius kepada umat Islam dan orang awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, isu sedemikian sudah pun berulang kali beliau bangkitkan dalam aduan rasmi kepada jabatan berkaitan termasuk Menteri Besar, Exco dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, ia bagi mendapatkan pendirian atau dasar yang jelas berkenaan dengan prosedur operasi standard (SOP) bertulis serta penguatkuasaan sebenar berkenaan situasi tersebut.
“Ingin saya tegaskan bahawa isu ini bukan baharu dan bukan reaksi bermusim, sebaliknya telah saya bangkitkan secara rasmi dan bertulis kepada pihak-pihak berautoriti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang dilaporkan menarik kembali dasar mesra haiwannya dengan serta merta susulan kerajaan negeri mengekalkan larangan tersebut.
Pengurusannya dalam kenyataan, memberitahu haiwan peliharaan kini tidak lagi dibenarkan berada di dalam premis tertutup dalaman pusat beli-belah berkenaan bagi memastikan persekitaran yang selamat, bersih dan selesa kepada semua pengunjung.
Jelas Nurul Syazwani, beliau menyambut baik pandangan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim yang menegaskan larangan membawa haiwan ke pusat beli-belah di negeri ini kekal berkuat kuasa.
“Kenyataan ini adalah penting kerana ia menegaskan bidang kuasa PBT dalam mengawal selia pusat beli-belah, menghantar isyarat jelas pengurusan pusat komersial tidak boleh menetapkan polisi yang bercanggah dengan dasar negeri dan mengiktiraf sensitiviti kebersihan, keselesaan awam dan kepentingan umat Islam,” ujarnya.-UTUSAN










