MENGURUSKAN perniagaan terutama bersama pasangan bukan satu tugas yang mudah. Selain perlu mengawal emosi, sebagai pasangan suami isteri, perlu ada rasa hormat dan saling melengkapi.
Mungkin bagi segelintir pasangan, sukar sebenarnya mahu membezakan antara status sebagai suami isteri dan juga, rakan perniagaan. Begitu juga yang dirasanya oleh pelakon, Reen Rahim dan suami, Hazim Zainal Abidin.
Jelas pelakon Dhia Kasyrani itu, dalam menguruskan perniagaan, mereka perlu bijak untuk tidak mencampur adukkan urusan perasaan sebagai pasangan dan bisnes terutama mengendali dua jenama serentak.
“Dalam bisnes, keputusan kena ikut data, bukan ikut perasaan. Kadang saya hendak semua laju, tetapi Hazim hendak details.
“Dalam bisnes kita profesional, dalam rumah tangga kita pasangan. Tak boleh campur. Kalau gaduh pasal stok atau pengurusan jenama Reen Rahim Hygiene Wash atau Quyus, jangan bawa balik ke rumah.
“Kalau penat pasal operasi syarikat, jangan lupa kita ini tetap suami isteri. Dan bila dua-dua ada visi yang sama, cabaran tu jadi proses belajar, bukan masalah,” ujarnya.
Jelasnya, mereka juga bukan pasangan paling matang dan seperti pasangan lain, mereka juga adakala bertelingkah tentang hal-hal yang mungkin tidak seharusnya diperbesar.
“Biasalah, kami ini kuat menyakat. Kadang gurau jadi terlebih ‘pedas’ sikit, terus dua-dua buat muka. Tapi Alhamdulillah, tak pernah sampai tahap merajuk berhari-hari.
“Hazim luar nampak garang, tapi dia sebenarnya cepat lembut hati. Kalau ada salah faham, dialah yang akan datang peluk dulu. Saya ini nampak macam singa, tapi sebenarnya kucing.
“Cepat cair bila orang yang saya sayang pujuk. Tetapi betullah, dia lah paling cepat mengalah tapi saya paling cepat cair,” kongsinya.
KERJAYA SENI TETAP ‘NO 1’
Dalam mengendali sebarang konflik dalam dunia perniagaan mahupun rumah tangga, kongsi pelakon Sue-On itu lagi, mereka juga menetapkan peraturan untuk tidak berbincang berhubung satu-satu perkara ketika sedang beremosi.
“Kalau saya tengah garang manja, Hazim tengah garang juga, memang tak jumpa jalan. Selalu kami ambil masa selepas itu baru kembali berbincang.
“Bagi kami, kalau benda itu tak menjejaskan masa depan, jangan besar-besarkan.
“Kadang kita marah sebab penat, bukan sebab tak sayang. Bila sedar benda itu kecil sahaja, kami belajar lepaskan,” katanya.
Bercakap soal kerjaya seni, Reen berkata, biarpun kesibukan membangunkan jenama penjagaan wanita dan kesihatan menuntut masa serta komitmen yang tinggi, namun kerjaya seni tetap menjadi keutamaan.
“Tawaran itu memang sentiasa ada, cuma saya kena bijak memilih. Tidak sapu semua orang kata. Kena susun masa supaya tidak ada kerja yang tertindih dan menyusahkan mana-mana pihak.
“Saya pun sangat beruntung mempunyai suami yang juga berada dalam bidang yang sama. Setidaknya dia ada menguruskan perniagaan sekiranya saya terlibat dalam projek drama atau filem,” ujarnya.-UTUSAN










