KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan perjanjian yang ditandatangani oleh lapan buah sekolah rendah dan menengah dengan sekolah di China bukanlah merupakan perjanjian rasmi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perjanjian yang dinyatakan itu bukan perjanjian rasmi dengan KPM.
“KPM menegaskan bahawa sebarang kerjasama antara sekolah KPM dengan pihak luar mesti mendapat kelulusan rasmi KPM,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) memintanya menyatakan langkah lapan sekolah rendah dan menengah di Malaysia yang dilaporkan menandatangani perjanjian sekolah angkat dengan beberapa sekolah di China.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak lapan buah sekolah rendah dan menengah di Malaysia telah menandatangani perjanjian sekolah angkat dengan beberapa sekolah di Hangzhou, China, menandakan fasa baharu pertukaran dan kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara.
Antara yang terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ching Chong, Bedong, Kedah; SJKC Chui Chak, Perak; SJKC Nan Kwang, Alor Setar, Kedah; SJKC Choong Hua 2, Perak; SJKC Kerayong, Bera, Pahang; SJKC Yik Hwa, Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) Sin Min, Kedah dan SMPC Chong Hwa Kuantan, Bunut Rendang, Pahang.
Perjanjian tersebut berlangsung sempena lawatan pendidikan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Cina Malaysia dengan sokongan Program Ivy dan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia.
Delegasi Malaysia diketuai oleh pengerusinya, Datuk Mah Hang Soon, yang turut membuat kunjungan hormat ke Biro Pendidikan Hangzhou. – UTUSAN










