SEREMBAN: Mendapan dan berlakunya pergerakan tanah mungkin menjadi faktor kejadian runtuhan binaan hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Senawang di sini pagi tadi.
Pemilik, Kamal Ariffin, 51, berkata, perkara itu juga pernah dimaklumkan oleh pihak kontraktor ketika dia melakukan kerja-kerja ubah suai rumah pada tahun 2018.
“Terdapat tanda-tanda mendapan tanah di bahagian hadapan rumah ini dan keadaan sama turut dapat dilihat di rumah jiran bersebelahan.
“Kami tidak pasti sama ada terdapat laluan air atau pergerakan tanah di bahagian bawah kawasan ini. Setakat ini tidak dapat dipastikan punca sebenar kejadian dan perlu menunggu hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di Taman Pinggiran Senawang di sini.
Media hari ini melaporkan penghuni sebuah rumah di Taman Pinggiran Senawang di sini berdepan detik cemas apabila rumah teres dua tingkat didiami mereka mengalami runtuhan struktur pagi tadi.
Runtuhan di bahagian depan rumah itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan namun telah menyebabkan tiga buah kenderaan rosak.
Sementara itu, Kamal berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika dia sedang tidur di bilik utama sebelum dikejutkan isterinya, Nor Zaini Nordin, 51, selepas terdengar bunyi dentuman kuat.
Katanya, tidak lama selepas itu, keseluruhan bahagian hadapan rumah runtuh secara tiba-tiba.
“Bila isteri kejutkan, saya terus bangun dan pergi ke bilik sebelah. Ketika itu saya dapati siling plaster sudah mula runtuh sebelum saya segera melarikan diri keluar rumah.
“Tidak lama kemudian, runtuhan besar berlaku dan saya menjerit meminta bantuan jiran kerana isteri masih berada di dalam rumah.
“Syukur isteri saya berjaya keluar melalui pintu belakang dan Alhamdulillah kami berdua selamat,” katanya yang memberitahu pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Bomba telah hadir bagi menjalankan pemeriksaan serta siasatan lanjut. – UTUSAN










