Pengorbanan ibu buati tiga kerja dorong hafiz al-Quran raih Anugerah Canselor

Pengorbanan ibu buati tiga kerja dorong hafiz al-Quran raih Anugerah Canselor

MUHAMMAD Faris Fiqran Muhamad bersama Tun Zaki Azmi pada majlis Konvokesyen MMU, Cyberjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengorbanan seorang ibu melakukan tiga pekerjaan setiap hari demi keluarga menjadi sumber kekuatan utama kepada Muhammad Faris Fiqran Muhamad mengukir kejayaan dalam bidang teknologi apabila menerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) 2025, di sini, hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Multimedia (Kepujian) Realiti Maya itu diumumkan penerima anugerah tertinggi tersebut selepas sesi pengisytiharan rasmi pembukaan majlis oleh Canselor MMU, Tun Zaki Azmi.

Anak jati Gua Musang, Kelantan berusia 22 tahun itu berkata, kejayaannya banyak didorong oleh doa ibu bapa, pemilihan rakan yang positif serta keazaman untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap bidang yang diceburi.

“Sumber inspirasi terbesar saya ialah ibu yang sanggup melakukan tiga pekerjaan setiap hari demi keluarga. Kejayaan ini saya dedikasikan sepenuhnya kepada beliau,” katanya.

Beliau yang juga merupakan hafiz Al-Quran dan telah menghafal 30 juzuk al-Quran ketika bersekolah di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut berjaya memperoleh 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum melanjutkan pengajian ke MMU dan menamatkan pengajian dengan CGPA 3.81.

Walaupun berlatarbelakangkan aliran agama, Faris membuktikan keupayaan menyesuaikan diri dalam bidang berteraskan teknologi tinggi hasil bimbingan pensyarah serta sokongan rakan-rakan.

“Persekitaran yang positif di MMU membantu saya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran di samping aktif menyertai program peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau turut mencatat pelbagai pencapaian membanggakan, seperti muncul johan dan penerima People’s Choice Award pada The Trophy International Public Speaking Competition 2025 serta menjuarai beberapa pertandingan pidato dan deklamasi puisi di peringkat kebangsaan.

Selain itu, projek tahun akhirnya bertajuk Layangan Warisan turut menerima geran berjumlah RM135,000 daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Dalam pada itu, beliau meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa dalam bidang inovasi termasuk Pingat Emas dan Best Project Champion di iNVENTX 2025 serta beberapa anugerah lain di peringkat global.

Lebih membanggakan, Faris terpilih sebagai satu-satunya wakil Malaysia dalam kalangan 15 pelajar dari seluruh dunia yang menerima biasiswa penuh Kedutaan Perancis ke Gobelins Paris Summer School 2025, selain tersenarai sebagai antara penerima tertinggi Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025.

Majlis Konvokesyen MMU 2025 berlangsung tiga hari menyaksikan seramai 4,187 graduan diraikan selepas berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN