SERDANG: Kesabaran seorang anak muda, Aiman Arif Mohd. Nazri membuahkan hasil apabila dia dinobatkan sebagai juara Jaguh Joran Universiti Putra Malaysia (UPM)-Utusan Malaysia 2025, selepas berjaya menaikkan ikan patin seberat 8.635 kilogram (kg).
Hanya menggunakan umpan roti putih, Aiman Arif, 25, yang bekerja sebagai penghantar makanan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dalam pertandingan yang berlangsung di Kolam Memancing UPM sempena Pesta Konvokesyen UPM 2025.
“Syukur alhamdulillah, rezeki hari ini. Saya akan gunakan wang kemenangan ini untuk belanja keluarga,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Mohd. Zam Shaharani, 65, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur yang menaikkan ikan patin seberat 8.470kg, sekali gus membawa pulang hadiah RM1,000.
Tempat ketiga pula milik anak muda berusia 23 tahun, Muhammad Izrat Zuhari dari Banting yang menaikkan ikan patin seberat 7.895kg dan membawa pulang RM500.
Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat UPM, Noor Mohamad Shakil Hameed berkata, pertandingan memancing kali ini menerima sambutan luar biasa dan menjadi antara tumpuan utama pengunjung sempena majlis konvokesyen.
“Tahun hadapan, sempena 50 Tahun Konvokesyen UPM 2026, kami merancang untuk menganjurkan pertandingan ini dengan lebih berskala besar dan meriah bersama rakan strategik kami, Utusan Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya hadir memeriahkan Pesta Konvokesyen UPM 2025 yang masih berbaki lima hari dengan pelbagai program menarik telah disusun untuk seisi keluarga.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Noor Mohamad Shakil dalam suasana penuh meriah.
Para peserta memberikan maklum balas positif dan menyokong usaha UPM dan Utusan Malaysia dalam menganjurkan pertandingan yang bukan sahaja mendekatkan masyarakat, malah memupuk semangat sihat dalam kalangan pemancing. – UTUSAN










