PETALING JAYA: Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak, Datuk Dr. Madeline Berma dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Berita pemergian itu dikongsikan oleh bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menerusi hantaran dalam Facebook, sebentar tadi.
Beliau berkata, mendiang adalah seorang sahabat dan sarjana yang memperjuangkan kehidupan insan, khususnya dalam aspek pembasmian kemiskinan.
“Besar sumbangannya kepada negara. Mendiang ialah pesara akademia UKM dan juga alumni UKM yang dihormati,” katanya.
Madeline seorang ahli akademik dan pernah menyandang jawatan sebagai pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM.
Kepakaran beliau meliputi pembangunan ekonomi, dimana beliau melakukan penyelidikan mendalam dalam bidang kemiskinan, ketidaksamarataan dan pembangunan komuniti orang asal.
Beliau pernah menyumbang idea dan pandangan sama ada menerusi wawancara dan penulisan artikel kepada akhbar Utusan Malaysia. – UTUSAN










