Penduduk kesal, Hulu Langat kerap banjir - Utusan Malaysia

Penduduk kesal, Hulu Langat kerap banjir

JALAN Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor dilimpahi air susulan hujan lebat pada awal pagi semalam menyebabkan lebih 500 meter laluan itu ditutup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Penduduk di daerah ini terutama di kawasan rendah seperti di Pekan Batu 18, Dusun Nanding dan Kajang kesal dengan kekerapan banjir yang berlaku di tempat tinggal mereka dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Mereka mempersoalkan­ ke­berkesanan tindakan pihak berkuasa bagi mengatasi mas­alah banjir di sini yang masih belum berkesudahan.

Penduduk Taman Seri Nan­ding, Roslina Abdul Rahman, 65, berkata, situasi itu jauh berbeza berbanding ketika dia mula menetap di perumahan itu pada 1996.

Dakwanya, sejak pembangunan pesat di sekitar kawasan kediamannya, banjir lebih kerap berlaku dan keadaan itu mengancam keselamatan penduduk kerana situasi paras air naik sukar dijangka.

“Saya pelik kenapa sejak setahun dua ini kerap sangat banjir di kawasan ini. Kalau dulu, yang besar hanya pada 2012 dan 2021. Tetapi sekarang dalam sebulan boleh banjir dua hingga tiga kali

“Sejak adanya pembangunan seperti lebuh raya, kawasan kami ini seperti tidak diambil tahu oleh pihak bertanggungjawab. Saya harap pihak berkuasa boleh buat sesuatu, laburkan sedikit peruntukan untuk kawasan yang sering terkesan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama (SRA) Dusun Nanding, semalam.

Roslina berkata, walaupun hebahan banjir kali ini lebih cepat dan teratur, kejadian pagi semalam tetap mengejutkan dan keadaan itu lebih sukar baginya kerana perlu menjaga ibunya yang uzur serta ba­panya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, seorang lagi penduduk di kawasan sama, Nor Ihan Ahmad, 48, membe­ritahu, dia dan keluarga terkejut melihat aliran air lebih deras berbanding sebelum ini.

“Air naik sampai paras paha dan sangat laju. Saya cuma sempat ambil barang serta dokumen penting yang memang sudah disediakan, terus keluar. Suami pula beritahu air longkang sudah penuh, jadi kami terus bersiap untuk keluar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Dusun Nanding, Mohd. Rozelan Alias, 60, berkata, setakat pukul 2.15 petang semalam, seramai 349 mangsa daripada 87 keluarga ditempatkan di PPS SRA Dusun Nan­ding.

Katanya, sejak dibuka pada pukul 9 pagi, majoriti yang mendaftar ialah penduduk dari Taman Seri Nanding, Kampung Dusun Nanding dan kawasan sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN