KUALA PILAH: Bangunan terbiar dan lama ditinggalkan di sekitar kawasan Johol di sini menimbulkan kebimbangan daripada aspek keselamatan dan masalah sosial dalam kalangan penduduk.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa bangunan berkenaan berada dalam keadaan tidak terurus dengan Sebahagiannya tidak berbumbung, dipenuhi sampah sarap sekali gus mencacatkan pemandangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Air Mawang, Mohd. Razali M. Ali, 57, berkata, bangunan dan rumah terbiar itu dakwanya sering dijadikan aktiviti tidak bermoral termasuk perjudian dan penyalahgunaan dadah.
“Apabila rumah atau kedai terbiar, memang biasa berlaku perkara tidak elok. Ini mengundang keresahan penduduk kerana golongan pelaku ini boleh mencetuskan kecurian dan masalah sosial.
“Selain itu, apabila bangunan tersebut dipenuhi semak dan sampah ia juga boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya ketika ditemui di pekan Air Mawang, Johol, semalam.
Seorang lagi penduduk, Azlianim Ab. Aziz, 57, berkata, dia berminat untuk mengusahakan sebuah bangunan kedai lama namun usaha tersebut tidak dapat direalisasikan berikutan kekangan isu pemilikan.
Katanya, bangunan berkenaan sebelum ini pernah digunakan oleh ibunya untuk menjalankan perniagaan namun sehingga kini dia gagal memperoleh kebenaran rasmi bagi mengusahakannya semula.
“Saya dimaklumkan bahawa bangunan tersebut dibina diatas rizab Jabatan Kerja Raya (JKR) , manakala bahagian belakangnya pula melibatkan pemilikan sebuah sekolah berhampiran, dan itu menyebabkan sukar untuk mendapat kelulusan. Bangunan itu kini dibiarkan kosong sehingga semakin uzur,” katanya.
Mengulas isu berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata, bangunan terbiar bukan sahaja menjejaskan imej kawasan malah memberi kesan terhadap persekitaran dan ekonomi setempat.
“Setakat ini di sekitar Johol terdapat 10 buah bangunan yang terbiar. Antara punca bangunan tersebut dibiarkan kosong adalah kerana pemilik asal telah meninggal dunia, manakala waris menetap di luar kawasan, selain terdapat kes pemilik yang gagal dikesan,” katanya.
Pengerusi Bertindak Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai peruntukan undang-undang bagi mewajibkan pemilik memastikan bangunan sentiasa digunakan atau beroperasi.
Beliau berkata, PBT hanya boleh mengambil tindakan jika bangunan persendirian didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk, tikus atau menyebabkan pencemaran selain tidak diselenggara sehingga menjejaskan kebersihan kawasan sekitar.
“Dalam keadaan sedemikian, notis boleh dikeluarkan kepada pemilik bangunan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan atau pembersihan di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” katanya. – UTUSAN











