LUMUT: Cadangan untuk memindahkan program Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masih di peringkat awal dan memerlukan proses yang panjang termasuk pindaan akta sedia ada.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, cadangan pemindahan itu merupakan sebahagian perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadual bermula pada 2026.
Menurutnya, sebarang keputusan rasmi hanya akan dibuat selepas proses semakan, pembentukan jawatankuasa khas dan penyediaan laporan lengkap disiapkan.
“Dalam RMK13, kerajaan merancang untuk meletakkan pengajian pra universiti, termasuk Tingkatan Enam dan matrikulasi di bawah KPT.
“Namun proses ini akan mengambil masa kerana ia melibatkan pindaan akta yang perlu dibentangkan terlebih dahulu di Parlimen,” katanya.
Beliau ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) Pulau Pangkor Fasa ke-2 di Arena Terbuka Teluk Gedung, Pulau Pangkor di sini.
Sementara itu, Zambry berkata, cadangan pemindahan itu tidak akan menggugat peluang mana-mana kaum untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
“Ada pihak mula menimbulkan kebimbangan kononnya akan hilang perjuangan satu kaum apabila kerajaan membuat keputusan meletakkan program STPM dan matrikulasi di bawah KPT.
“Biarlah kita tengok dulu jawatankuasa yang akan dibentuk dan mereka akan memberikan laporan dan kita lihatlah (nanti).
“Mengenai kebimbangan-kebimbangan yang dicetuskan itu tak apa, kita ambil perhatian tapi untuk membuat satu kesimpulan di peringkat ini, adalah terlalu awal kerana perkara ini belum ada yang dibuat secara konklusif,” katanya.
Sebelum ini, bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Tetap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Nik Saiful Adli Burhan berkata, perkara itu menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan pelajar Melayu di luar bandar.
Menurutnya, ini kerana laluan STPM dan matrikulasi selama ini terbukti menjadi instrumen penting ekuiti pendidikan, khususnya kepada pelajar Melayu dan bumiputera dari kawasan pedalaman serta keluarga berpendapatan rendah untuk memasuki universiti awam. – UTUSAN










