KLANG: Pencemaran yang menyebabkan air Sungai Serdang di Kampung Sungai Serdang sehingga bertukar warna hitam didakwa berpunca daripada pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa di bahagian hulu.
Hal ini kerana terdapat aliran air berwarna hitam dan berbau minyak dari sebatang anak sungai yang melalui kawasan berhampiran tapak pelupusan sampah haram di Batu 14, Kapar.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati wujud kesan minyak terkumpul dan hanyut melalui kawasan di Batu 14 berdekatan sebuah kilang sebelum mengalir masuk ke Kampung Sungai Serdang, Kampung Sungai Janggut dan Kampung Tok Muda.
Ketua Kampung Sungai Serdang, Rahim Rohkim Iska berkata, pembuangan sisa itu disyaki terjadi ketika hujan pada minggu lalu dan menyebabkan sebahagian kawasan ladang kelapa sawit berhampiran anak sungai berkenaan banjir.
“Ketika air melimpah, memang air berwarna hitam serta berbau masuk ke ladang sawit, boleh nampak kesannya, banyak rumput mati dan ada sebilangan pokok kelapa sawit rosak akibat kesan pencemaran tersebut.
“Sisa berkenaan kemudian mengalir masuk ke Sungai Serdang melalui saliran berdekatan sebuah tapak pelupusan sampah haram dan seterusnya ke sungai, parit dan longkang,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan, kejadian didakwa berpunca daripada hujan berpanjangan di tapak pelupusan sampah haram itu sepanjang minggu lalu dan menyebabkan air di Sungai Serdang bertukar menjadi hitam.
Rahim Rohkim bagaimanapun menolak dakwaan berlaku aliran dari kawasan tapak sampah haram kerana kawasan keliling sudah digali bagi mengelak berlaku aliran dari situ masuk ke Sungai Serdang.-UTUSAN










