Pembebasan ahli GISBH kerana telah selesai jalani hukuman - Utusan Malaysia

Pembebasan ahli GISBH kerana telah selesai jalani hukuman

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembebasan mana-mana individu yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) bukan disebabkan pengguguran kes, kekurangan bukti atau keputusan pentadbiran mana-mana agensi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembebasan mereka yang ditahan melalui Op Global itu berikutan telah selesai menjalani hukuman penjara ditetapkan mahkamah.

“Saya ingin menegaskan bahawa pembebasan individu-individu berkenaan adalah selaras peruntukan undang-undang setelah mereka selesai menjalani hukuman penjara yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

“Oleh itu, pembebasan mereka bukan disebabkan oleh pengguguran kes, kekurangan bukti atau disebabkan keputusan pentadbiran mana-mana agensi. Ia merupakan pelaksanaan sepenuhnya keputusan kehakiman,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang memohon penjelasan kes GISBH di mana anggotanya dibebaskan baru-baru ini.

Saifuddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan ke atas ahli GISBH yang ditahan dalam operasi terdahulu bagi kesalahan jenayah terancang dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Jelasnya, pada 23 Oktober 2024, seramai 22 orang dituduh di Mahkamah Sesyen, Selayang di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan manakala 38 lagi dibebaskan atas alasan kekurangan bukti dan keterangan.

“Pada 7 November 2025 pula, satu prosiding dijalankan di Mahkamah Khas Penjara Kajang susulan permohonan representasi dikemukakan pihak pembelaan semua orang kena tuduh (OKT).

“Dalam prosiding itu, semua OKT ditawarkan pertuduhan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan mereka mengaku salah, di mana sembilan OKT perempuan dijatuhkan hukuman denda RM4,500 seorang manakala 13 OKT lelaki dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan daripada tarikh tangkap.

“Kesalahan disabitkan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 adalah melibatkan kesalahan menyertai, membantu atau terlibat dalam pertubuhan yang tidak berdaftar atau dilarang, sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen-seksyen berkaitan dalam akta berkenaan,” katanya.

Saifuddin berkata, kumpulan itu juga diambil tindakan siasatan oleh Pasukan Siasatan Penggubahan Wang Haram (AMLA) PDRM dengan 230 kertas pertuduhan kes AMLA dikenakan kepada mereka, yang mana ia masih dalam perbicaraan.

“PDRM juga berjaya menyita RM23 juta harta milik kumpulan ini dengan pecahan wang RM1.5 juta dan harta sebanyak RM21.5 juta. Kerajaan ingin menegaskan bahawa aspek keselamatan dalam negara kekal menjadi keutamaan.

“Kementerian Dalam Negeri komited memastikan setiap tindakan penguatkuasaan berkait GISBH atau mana-mana pertubuhan lain dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selaras dengan undang-undang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN