SEREMBAN: “Selama ini asap tidak pernah sehitam itu”.
Itu reaksi seorang pemandu lori yang baru bekerja tiga bulan selepas kenderaannya didapati mengeluarkan asap melebihi had.
Keadaan itu menyebabkannya dikenakan kompaun oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam Operasi Gerak Kenderaan Bermotor di Plaza Tol Nilai di sini hari ini.
Wartawan Utusan Malaysia yang mengikuti operasi tersebut juga mendapati, selain lori beberapa buah kereta dan kenderaan pikap turut dikesan mengeluarkan asap hitam.
Pemandu lori berusia 29 tahun itu mengakui tidak menyangka bacaan pelepasan asap lori yang dipandunya melebihi 50 peratus selepas melalui ujian meter pelepasan asap.
“Saya baru sahaja bekerja tiga bulan. Saya tidak tahu asap itu melebihi had dan tidak lulus.
“Sebelum ini bila tekan minyak pun tidak keluar asap sehitam itu, majikan pun tidak memberitahu apa-apa,” katanya.
Selain itu, sebuah kereta antik yang diperiksa dalam operasi juga antara dikenakan tindakan selepas didapati gagal mematuhi standard pelepasan asap petrol.
Pemiliknya berkata, kereta berkenaan sudah lama tidak digunakan dan hanya menjalani pembaikan asas.
“Saya membelinya lima tahun lepas. Masa beli, saya ada membaikinya, kemudian lama tersadai di rumah dan baru hari ini saya memandunya,” katanya.
Pengarah JAS Negeri Sembilan, Abdul Aziz Parmin berkata, sebanyak 100 kenderaan diperiksa, dengan 50 daripadanya menjalani ujian bacaan asap.
Katanya, dua kompaun dikeluarkan terhadap kenderaan petrol manakala enam kompaun dikeluarkan kepada kenderaan diesel, serta enam lagi kenderaan dikeluarkan notis pemeriksaan semula.
“Antara alasan popular yang digunakan oleh pemandu adalah berkenaan kualiti petrol yang rendah.
“Sebenarnya ia berpunca daripada penyelenggaraan enjin yang tidak berkala sehingga mengeluarkan asap hitam.
“ Kesemua kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996 dan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol),” katanya.
Sementara itu, operasi turut dijalankan bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).










