Pelarian di Malaysia peroleh akses kerja, pendidikan melalui DPP - Utusan Malaysia

Pelarian di Malaysia peroleh akses kerja, pendidikan melalui DPP

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengeluarkan Kad Dasar Pengurusan Pelarian (DPP) bagi membolehkan pelarian tinggal di Semenanjung Malaysia buat sementara waktu secara sah dan memperoleh akses untuk memperoleh pekerjaan, pendidikan serta kesihatan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, Kad DPP hanya akan diperoleh apabila status pelarian itu sudah disahkan.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan empat tindakan di peringkat prapelaksanaan iaitu menguji sistem pendaftaran pelarian dan pemohon suaka serta pembangunan pusat pengasingan di Bidor, Perak.

Katanya, kerajaan juga sedang memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) proses pendaftaran dan penentuan status pelarian serta memuktamadkan pindaan Subperaturan 14, Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Selepas semua tindakan selesai, pelarian yang statusnya sudah ditentu sah akan dikeluarkan kad DPP yang membenarkan mereka untuk tinggal sementara di Semenanjung Malaysia secara sah dan memperoleh akses kepada sokongan sosial seperti pekerjaan, pendidikan dan kesihatan.

“Untuk itu, arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 telah memperincikan tugas dan peranan 20 kementerian dan agensi kerajaan termasuk untuk memberi sokongan sosial kepada pemegang DPP,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) berkenaan garis masa dan pelan pelaksanaan yang tepat bagi pengembangan DPP untuk memastikan pelarian berdaftar dapat mengakses pendidikan dan kesihatan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau institusi swasta.

Menjawab soalan tambahan mengenai jumlah pelarian yang diliputi dalam program pekerjaan, Shamsul Anuar berkata, dianggarkan sekitar 200,000 pelarian akan terlibat sekiranya DPP dilaksanakan sepenuhnya.

“Kementerian Sumber Manusia sedang meneliti jumlah yuran yang perlu dibayar oleh pelarian untuk mendapatkan permit kerja, termasuk isu-isu lain yang masih dalam tindakan kementerian masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×