PETALING JAYA: Pelantikan beberapa pemimpin baharu yang memegang portfolio dasar lebih berat termasuk Adam Adli selaku Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi perlu dilihat sebagai proses pendewasaan politik.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, peralihan peranan merupakan fasa penting dalam membentuk kepimpinan yang matang dan bertanggungjawab.
“Dahulu orang muda dan aktivis berdebat dan berkempen, hari ini kami diuji dengan tanggungjawab melaksanakan dasar.
“Inilah peralihan yang perlu dilalui jika Malaysia mahu melahirkan pemimpin yang bukan sahaja lantang bersuara, tetapi mampu mentadbir dengan matang,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Beliau menegaskan bahawa tiada Kabinet yang sempurna dan setiap pelantikan membawa risiko serta cabarannya.
Katanya, keberanian sebenar dalam kepimpinan ialah kesediaan memberi peluang, memantau prestasi dan bersedia dinilai.
Mengulas kritikan yang sering dilemparkan terhadap Adam berhubung isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Muhammad berkata, perjuangan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu dalam isu pendidikan tinggi mula menunjukkan perkembangan.
“Meskipun sering diperlekeh dan disindir tentang isu PTPTN, namun tidak dapat disangkal apabila perjuangan panjang itu sudah mula membuahkan hasil awal.
“Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan Madani tempoh hari telah mengumumkan PTPTN percuma kepada 5,800 pelajar daripada keluarga miskin berpendapatan di bawah RM2,705.00 sebulan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM120 juta,” katanya.
Selasa lalu, rombakan Kabinet menyaksikan Adam Adli bertukar portfolio daripada Kementerian Belia dan Sukan ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). – UTUSAN










