Pelajar ikon saintis muda kejayaan SMK Dato’ Syed Omar

Pelajar ikon saintis muda sumbang kejayaan SMK Dato’ Syed Omar

Ikon Saintis Muda Sekolah, Muhammad Khawarizmi Muhammad Kamalrul Zaman, 16,(tengah) bersama-sama Pengetua SMK Dato’ Syed Omar, Noor Anizah Jamal serta rakan menunjukkan trofi dan sijil yang dimenangi mereka dalam beberapa pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sepamjang tahun ini di SMK Dato’ Syed Omar, Alor Setar baru-baru ini. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Omar, Alor Setar melakar kejayaan berganda sehingga ke peringkat kebangsaan dalam beberapa pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sepanjang tahun ini.

Ketekunan para pelajar yang menjadi peserta telah membantu pencapaian berkenaan di samping hasil sokongan padu seluruh warga sekolah termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Noor Anizah Jamal (dua kiri) melihat Muhammad Khawarizmi Muhammad Kamalrul Zaman (tengah) menunjukkan rekaan sistem penggera dan pemantauan warga emas yang diciptanya bersama-sama rakan yang merupakan sebahagian aktiviti STEM di SMK Dato’ Syed Omar, Alor Setar Kedah. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN.

Antara yang mencuri tumpuan adalah penglibatan aktif dua beradik dari sekolah itu, Aidil Hamdi Ahmad Faisal Hamdi, 13, dan abangnya, Adam Hamdi, 15, yang mempunyai minat yang sama dalam bidang inovasi.

Menurut Aidil Hamdi, mereka berdua juga telah muncul juara dalam pertandingan My Robotic Challenge (MYRC) yang diadakan baru-baru ini.
“Saya minat dengan STEM sejak darjah lima ketika belajar di Gombak, Selangor bermula dengan masuk pertandingan coding (pengaturcaraan) tapi ketika itu tak menang apa-apa.

Aidil Hamdi Ahmad Faisal Hamdi menunjukkan jet kawalan jauh (RC) yang digunakan sebagai salah satu aktiviti dalam STEM.

“Jadi dengan kemahiran itu saya cuba kembangkan pula kepada inovasi berasaskan kawalan jauh (RC) dengan mempelajari asas perkakasan sehingga dapat membina kereta, jet dan robot kawalan jauh sendiri sebab ayah memiliki mesin pencetak tiga dimensi,” katanya.

Katanya, dia lebih gemar terhadap jet kawalan jauh kerana minat dengan objek terbang yang mana boleh mengawal permainan itu mengikut gaya tersendiri.

Abangnya, Adam Hamdi pula mengakui dia turut meminati bidang RC Jet kerana terikutkan adiknya selain sering meluangkan masa bersama untuk mempelajari perkara berkaitan.

“Kami pernah berdepan cabaran besar pada hari pertandingan robotik di mana peserta lain lebih mahir dan kami sebenarnya masih banyak perkara yang belum diketahui dan dikuasai.
“Daripada situ kami belajar bersama-sama untuk memantapkan lagi pengetahuan dalam bidang STEM dan inovasi ini sehinggakan sering kali sehingga pukul 8 malam masih berada di sekolah kerana ingin tingkatkan kemahiran dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Ikon Saintis Muda sekolah berkenaan, Muhammad Khawarizmi Muhammad Kamalrul Zaman, 16, berkata, aktiviti STEM di sekolah merupakan inovasi yang dihasilkan murid sepenuhnya dengan bimbingan guru.

“Maksudnya guru menasihat dan bukan tolong buat 100 peratus. Contohnya projek yang saya buat iaitu MyRocket, memang saya hasilkan sendiri menggunakan beberapa peralatan tapi ia juga nasihat daripada guru,” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua SMK Dato’ Syed Omar, Noor Anizah Jamal berkata, kecenderungan pelajar terlibat dalam STEM menyebabkan mereka tidak ketandusan bakat baharu yang diketengahkan saban tahun.

“Seluruh warga sekolah sokong projek inovasi mereka dan setiap tahun memang kita dah bersedia untuk masuk pertandingan-pertandingan yang baru.

“Macam tahun ini bukan setakat pertandingan MYRC, tapi kita juga dah buka ruang untuk pelajar masuk Toyota Eco Youth (TEY) dan kita sebagai 15 pasukan terbaik peringkat kebangsaan,” katanya.

Tambah Noor Anizah, bakat dan kemahiran pelajar mula dikenal pasti oleh guru STEM sejak mereka berada di tingkatan satu melalui beberapa kaedah termasuk pertandingan di peringkat sekolah.

Katanya, pihak sekolah dalam proses untuk membina sebuah bilik STEM khas bagi memberikan keselesaan kepada pelajar serta mendorong penghasilan idea yang lebih kreatif dan berinovatif.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN