Sebanyak 321 pasukan daripada 10 negara Castle Asia 2025

Pelajar 10 negara himpun idea inovatif di Science Castle Asia 2025

PESERTA, pengunjung dan orang kenamaan yang memenuhi Dewan Tun Canselor (DTC), Universiti Multimedia (MMU), dalam program inovasi dan keusahawanan pelajar-pelajar daripada berbagai-bagai negara Asia yang diadakan di Cyberjaya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebanyak 321 pasukan pelajar daripada 10 negara berhimpun dalam program Science Castle Asia 2025 bagi membentangkan idea dan penyelidikan inovatif dalam bidang sains, teknologi dan kemampanan.

Majlis pelancaran Science Castle Asia 2025 di Universiti Multimedia, Cyberjaya baru-baru ini yang dianjurkan dengan kerjasama Ajinomoto Malaysia dan Leave A Nest Malaysia Sdn. Bhd.

Program dua hari itu berlangsung di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya baru-baru ini, membabitkan penyertaan pelajar daripada Jepun, Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, India, Rusia dan Myanmar.

Menurut Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Ajinomoto (Malaysia) Berhad, Lee Soon Howe, berkata, penganjuran program tersebut membuka ruang kepada pelajar untuk memahami bagaimana sains boleh diaplikasikan secara praktikal dalam kehidupan seharian dan industri.

PARA juri termasuk Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata, dan Duta Filipina ke Malaysia, Maria Angela A. Ponce, menilai projek inovasi pelajar.

 

 

“Pelajar turut diberi peluang melawat fasiliti industri dan mendengar perkongsian pakar bagi membantu mereka membayangkan aplikasi sains dalam kerjaya sebenar,” katanya.

Program tersebut mula diperkenalkan di Jepun pada 2012 dan diperluas ke Malaysia pada 2017 sebagai platform serantau untuk pelajar bertukar idea serta mencari penyelesaian terhadap cabaran global melalui pembentangan projek saintifik dan inovasi.

Pengarah Urusan Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd., Abdul Hakim Sahidi, berkata, penyertaan kali ini lebih meluas berbanding penganjuran sebelum ini.

“Tahun lalu hanya lima sekolah terlibat, tetapi kini meningkat kepada 10 sekolah melibatkan kira-kira 500 pelajar dari seluruh negara,” katanya.

Antara peserta Malaysia adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Terengganu, Nur Aimi Nadhirah Ahmad, 16, yang memperkenalkan Tropilux, losen berasaskan buah rambutan, manggis dan lidah buaya.

PESERTA Malaysia daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Terengganu mempersembahkan inovasi mereka losen yang berasaskan buah.

Produk itu diformulasikan untuk melembapkan kulit secara semula jadi dengan harga lebih mampu milik berbanding produk komersial.

“Saya sangat seronok dapat sertai program ini sebab dapat cuba perkara baharu dan belajar yakin diri,” katanya.

 

Pelajar dari pada sekolah The Mabini Academy of Lipa, Filipina, menerangkan projek inovasi mereka kepada juri

 

 

Pelajar daripada Indonesia, Ratih Afida Ayu Renaning, 13, pula membentangkan projek makanan alternatif menggunakan beras pedas dan temulawak sebagai penyelesaian kepada kenaikan harga makanan di negara mereka.

“Saya sangat gembira sebab ini kali pertama saya sertai acara antarabangsa. Keluarga saya bangga dan beri sokongan penuh,” katanya.

Rakan sekolahnya, Arey Muhammad Wahyu A., 14, turut berkongsi kajian biodiesel berasaskan bahan buangan makanan sebagai alternatif tenaga yang lebih murah dan mesra alam.

“Produk kami sudah siap digunakan, cuma belum dikomersialkan. Kami mahu terus buat penyelidikan untuk perbaiki kualiti,” katanya.

Sementara itu, pelajar Cavite National High School, Filipina, D’Artanis Liam Jale R. Gloriani, 15, mengetuai pasukannya membangunkan sistem sonar berkuasa solar bagi membantu nelayan kecil mengesan kawasan ikan.

“Kami harap teknologi ini boleh bantu komuniti nelayan dan dapat dikembangkan pada kos lebih rendah,” katanya.

Penganjuran Science Castle Asia 2025 turut mendapat sokongan pelbagai rakan industri dan akademik termasuk Cyberview Sdn. Bhd., Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan University of Tsukuba Malaysia.

Program tersebut memberi peluang pelajar mempamerkan inovasi mereka selain memperkukuh jaringan serantau dan melahirkan penyelidik muda berdaya saing di peringkat Asia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN