PETALING JAYA: Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) menyambut baik serta menyokong penuh pengumuman oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 [Akta 652] dan RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 [Akta 640] yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen hari ini.
PASAK melihat pindaan ini sebagai langkah proaktif dan strategik dalam memperkukuhkan arus pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Malaysia bagi melahirkan tenaga mahir yang berdaya saing.
Ia turut membuka lebih banyak peluang latihan kemahiran kepada golongan belia dan anak negeri Perak.
Antara intipati utama pindaan ini termasuk pengenalan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) yang lebih fleksibel selaras dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat, pengiktirafan kepakaran melalui kategori baharu seperti Pakar
Kemahiran dan Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran.
Selain itu, peluasan skop pembiayaan oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi program latihan kemahiran yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Penekanan terhadap pemantapan tadbir urus melalui proses kelulusan, pengurusan dan kawal selia pembiayaan yang lebih telus turut menjadi teras penting dalam pindaan tersebut.
Dengan kelulusan kedua-dua Rang Undang-Undang ini, PASAK bersedia memainkan peranan sebagai jambatan penghubung kemahiran antara Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam menyelaraskan dasar serta inisiatif kemahiran untuk manfaat rakyat Perak.
PASAK juga komited untuk terus bekerjasama dengan JPK, PTPK, pemain industri dan agensi berkaitan dalam memperluas pelaksanaan program TVET serta latihan kemahiran agar memberi impak maksimum kepada pembangunan tenaga mahir di negeri Perak.
Pindaan ini diyakini mampu memperkukuh sinergi antara kerajaan, industri dan penyedia latihan dalam mewujudkan ekosistem kemahiran yang lebih inklusif, dinamik dan berimpak tinggi, selaras dengan agenda Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, peningkatan kemahiran dan keberhasilan rakyat. – UTUSAN










