PETALING JAYA: Filem animasi tempatan, Papa Zola The Movie terus mencetuskan fenomena ‘demam kebenaran’ apabila berjaya mengaut kutipan RM26.6 juta hanya dalam tempoh 11 hari tayangan.
Lebih membanggakan, filem berkenaan turut menduduki tangga teratas carta Top 10 GSC, sekali gus membenamkan dominasi filem antarabangsa berbelanja besar seperti Avatar: Fire And Ash, Zootopia 2 dan Five Nights At Freddy’s 2.
Pengarah Papa Zola The Movie, Nizam Abdul Razak berkata, peningkatan sambutan penonton turut dipacu oleh faktor cuti persekolahan yang menjadikan pawagam sebagai pilihan utama aktiviti seisi keluarga.
“Kami bersyukur apabila Papa Zola The Movie dipilih sebagai antara aktiviti percutian keluarga di pawagam. Lebih bermakna, sambutan hangat ini digerakkan oleh perkongsian pengalaman penonton sendiri.
“Fenomena ‘demam kebenaran’ ini membuktikan sokongan organik terhadap filem tempatan mampu menarik lebih ramai penonton untuk menghargai dan menyokong karya anak tempatan,” katanya menerusi kenyataan akhbar.
Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras demi menyara keluarga kecilnya. Tanpa disangka, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam sebuah organisasi rahsia dikenali sebagai P.A.P.A (Protect and Prevent Agency).
Keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama isterinya, Mama Zila, terpaksa bertindak pantas bagi menyelamatkan Pipi serta melindungi dunia daripada ancaman berbahaya.
Filem ini kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Ia dijadualkan menembusi pasaran antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia, diikuti India, Vietnam serta pasaran Timur Tengah merangkumi Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turkiye pada April 2026. – UTUSAN










