P. Pinang kaji pembangunan tinggi 

P. Pinang kaji pembangunan tinggi 

H'NG Mooi Lye (dua dari kiri) menghadiri Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam RSNPP 2040 (Kajian Semula) di Komtar, George Town, Pulau Pinang semalam.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dasar pembangunan melebihi aras 76 meter dari paras laut merupakan aspek yang diteliti semula Pulau Pinang dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) Pulau Pinang 2040 (Kajian Semula) yang akan diwartakan suku ketiga tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­rajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, kawasan seperti Cameron Highlands ketika ini mempunyai dasar pembangunan melebihi 150 meter dan ia menunjukkan keperluan untuk negeri ini menilai semula had berkenaan berdasarkan kesesuaian setempat.

Katanya, justeru itu Pulau Pinang menilai semula dasar pembangunan melebihi aras 76 meter dari paras laut yang sebelum ini tidak dibenarkan, namun kini dibuka untuk penelitian semula berdasarkan input teknikal.

“Contohnya ada kawasan yang berada pada aras 80 meter, tetapi, permukaannya rata dan sesuai untuk pembangunan. Mengikut dasar sekarang, ia automatik tidak dibenarkan. 

“Namun, melalui kajian semula ini, kita akan teliti semula tahap ketinggian mana yang wajar dibenarkan. Semua maklum balas awam ini kemudian akan dinilai secara terperinci oleh panel teknikal sebelum sesi pendengaran diadakan,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam RSNPP 2040 (Kajian Semula) di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini semalam.

Mengenai kajian semula itu, Mooi Lye berkata, ia penting bagi memastikan dasar pembangunan negeri kekal relevan, inklusif dan komprehensif selaras dengan perubahan semasa.

Katanya, kajian tersebut turut mengambil kira kekangan sebenar negeri terutama berkaitan kekurangan tanah serta wujudnya banyak kawasan sensitif alam sekitar.

“Kita sememangnya berdepan cabaran besar untuk mencari tanah baharu bagi pembangunan kerana banyak kawasan di Pulau Pinang ini tergolong sebagai kawasan sensitif. Jadi, kita perlu meneliti semula dasar sedia ada agar pembangunan dapat difasilitasi tanpa menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Program publisiti RSNPP 2040 (Kajian Semula) berlangsung sehingga 23 Disember ini melibatkan beberapa lokasi pameran iaitu di Komtar, bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi membolehkan orang ramai mengemukakan maklum balas, pandangan atau bantahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×