PEMINAT siri sains fiksyen Nintendo, Metroid teruja meraikan kemunculan terbaharu permainan video itu selepas menunggu lebih lapan tahun dengan proses pembangunannya yang mencabar.
Berasaskan inspirasi daripada filem Alien sejak tajuk pertamanya pada 1986, siri permainan ini mengisahkan pengembaraan pemburu upahan angkasa, Samus Aran dalam pertempurannya menentang makhluk asing Metroid.
Sepanjang 15 tajuk diterbitkan, saga ini berkembang daripada platform 2D dan eksplorasi kepada format aksi-pengembaraan orang pertama bermula 2002, ketika Metroid Prime pertama muncul di konsol GameCube.
Kini, Metroid Prime 4: Beyond membawa pemain meneroka sebuah planet jauh menggunakan konsol Switch 1 atau 2, sama ada berjalan kaki atau menunggang motosikal dengan memakai sut berperisai ikonik Samus.
Bersama senjata meriam di lengan dan pelbagai kuasa psikis bagi menghadapi cabaran, pemain perlu menempuh hutan atau padang pasir sambil bertempur dengan musuh.
Bagi edisi terbaharu ini, pemain boleh menggunakan pengawal boleh tanggal Switch 2 seperti tetikus untuk melihat sekeliling persekitaran, menjadikan pengalaman permainan lebih selesa bagi mereka yang biasa bermain di komputer.
Permainan ini menerima sambutan positif daripada pengkritik dengan skor 81 daripada 100 berdasarkan 71 ulasan yang dikumpul di laman Metacritic.
Keputusan ini melegakan Nintendo selepas keputusan jarang dan menyakitkan untuk memulakan semula pembangunan permainan itu pada 2019, lebih 18 bulan setelah pengumuman awal tajuk itu.
Menurut Ketua Pembangunan Nintendo, Shinya Takahashi versi awal permainan itu gagal mencapai standard diinginkan.
Nintendo kemudian menyerahkan projek itu kepada Retro Studios yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), syarikat yang membangunkan tiga tajuk Metroid Prime terdahulu.
Proses pembangunan yang panjang dan senyap bagi Prime 4 meletakkan permainan ini sebaris dengan tajuk masa depan yang dinanti-nantikan seperti Half-Life 3 daripada Valve atau Beyond Good and Evil 2 daripada Ubisoft.
Tajuk-tajuk berkenaan dianggap sebagai ‘ikan paus putih’ oleh peminat permainan video kerana menjadi idaman ramai tetapi sukar diperoleh.-UTUSAN










