KUALA LUMPUR: Pengarah, Bebbra Mailin, mengambil inspirasi daripada pengalaman diri yang merupakan seorang mualaf untuk menghasilkan filem panjang sulungnya, Ninavau.
Jelas Bebbra, Ninavau mengangkat isu berkenaan bertukaran agama dalam masyarakat Sabah tanpa menyentuh adegan yang boleh membangkitkan kontroversi.
“Saya dibesarkan di Sabah dalam sebuah keluarga Kristian Katolik. Ketika umur 18 tahun saya berhijrah ke semenanjung untuk melanjutkan pelajaran.
“Saya memeluk agama Islam pada tahun 2020 dan setiap konflik bersama keluarga yang saya tonjolkan dalam filem ini saya telah laluinya terlebih dahulu.
“Walaupun cerita ini lebih dekat dengan orang Sabah terutama kaum Kadazan, tetapi isu yang saya mahu angkat adalah penerimaan keluarga dan tolenrasi masyarakat di Sabah.
“Pertukaran agama itu adalah pilihan peribadi dan pertalian darah tidak akan putus walau apa yang terjadi,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah Bebbra, asalnya Ninavau dihasilkan dalam bentuk filem pendek dan idea asalnya adalah tentang sahabatnya yang memeluk agama Islam.
Namun, selepas karya itu dinobatkan sebagai Filem Pendek Terbaik dalam Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) pada 2019, Bebbra akhirnya mendapat peluang untuk menghasilkan filem cereka pertamanya.
“Ketika mengarah filem pendek Ninavau saya masih beragama Kristian. Saya adalah watak yang mempersoalkan kenapa perlu bertukar agama dan bertukar nama.
“Tetapi ketika mengarah filem pada 2022 saya telah pun memeluk agama Islam. Jadi, naratif agak berbeza namun matlamatnya tetap sama mahu menyampaikan mesej yang positif meskipun isu ini sensitif,” luahnya lagi.
Filem Ninavau mendapat klasifikasi sebagai P16 meskipun tiada sebarang adegan seksual atau ganas.
Ditebak persoalan ini menurut penerbitnya, Muzzamer Rahman, klasifikasi tersebut diberikan mungkin kerana karya ini menyentuh aspek agama selain banyak babak di dalam gereja.
“Pihak produksi sangat berhati-hati dalam menulis skrip kerana kita tahu isu ini sangat sensitif. Sebelum ditapis oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF), kami sendiri telah tapis dan mengikut segala garis panduan yang ditetapkan.
“Cuma hanya ada satu babak yang dikeluarkan oleh pihak kami sendiri iaitu babak watak utama Ninavau makan babi.
“Meski kita semua tahu realitinya pelakon itu beragama Kristian, tetapi dalam filem dia memegang watak wanita Islam. Jadi, sebelum dijadikan kontroversi dan propaganda lebih baik kami buang babak tersebut,” ujar Muzzamer tentang karya yang diterbitkan oleh Le Mediator Studio dan Kristal Azmir itu.
Sementara itu, pelakon utamanya, Jovenea Jim mendedahkan demi menghayati watak seorang mualaf dia sanggup mempelajari untuk solat dan cara berwuduk.
“Saya beragama Kristian, tetapi untuk watak mualaf saya harus belajar cara-cara solat dan berwuduk.
“Sejujurnya, agalam Islam tidaklah asing kerana ada kalangan keluarga dan sahabat baik juga mualaf.
“Saya banyak belajar daripada pemerhatian disekeliling. Apa yang ditunjukkan dalam filem ini memang berlaku di Sabah dan saya sudah bersedia untuk dikecam oleh komuniti saya sendiri kerana pegang watak ini,” tutur Jovenea.
Filem Ninavau yang akan menemui penonton di pawagam pada 4 Disember ini dibintangi oleh pelakon asal Sabah, Jovenea Jim (Ninavau), Edward Sinsong (Edward) dan Tati Eliana Tonny (Elvira) dan diserikan oleh bintang terkenal Fatimah Abu Bakar dan Hasnol Rahmat. – UTUSAN









