HAT YAI: Wanita yang mengaku tidak pernah berkahwin dan ingin bernikah di wilayah Songkhla, Thailand wajib mengangkat sumpah bagi memastikan kesahihan status diri serta memelihara kesucian institusi perkahwinan.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla (MAIWS), Ismail Awang berkata, wanita-wanita berkenaan perlu mengangkat sumpah dengan lafaz ‘Wallahi Wabillahi Watallahi’.
Katanya, syarat ketat itu dilaksana bagi menutup ruang penipuan khususnya melibatkan permohonan pernikahan menggunakan wali hakim atau ketiadaan wali sah.
“Anak dara yang hendak bernikah di MAIWS dan tidak membawa wali atau hendak menggunakan wali hakim dikehendaki mengisi borang dan mengangkat sumpah.
“MAIWS akan mengemukakan beberapa soalan kepada gadis berkenaan termasuk sama ada dia dipaksa bernikah atau sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau mengulas tindakan seorang wanita Malaysia yang didakwa memadukan suaminya dengan bernikah kali kedua di Songkhla.
Ismail berkata, jika wanita itu bertaraf janda, MAIWS meminta surat cerai atau surat kematian suami yang asli sebagai rujukan.
Pada 13 Disember lalu, akhbar ini melaporkan, tembelang seorang isteri yang bertindak ‘memadukan’ suaminya terbongkar selepas perkahwinan kedua wanita dari Terengganu itu didedahkam adik iparnya pada 6 Disember lepas.
Perkahwinan kedua wanita itu dengan lelaki dari Johor lebih setahun lalu terbongkar selepas adik iparnya yang mahu dikenali Nur, 35, bersama anggota polis dan penduduk ke rumah lelaki berkenaan di sebuah taman perumahan dekat sini. – UTUSAN










