Muzik selamatkan Raes Arifin daripada keresahan, detik dibuli - Utusan Malaysia

Muzik selamatkan Raes Arifin daripada keresahan, detik dibuli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH melalui episod hitam menjadi mangsa buli yang akhirnya menyebabkannya mengalami gangguan keresahan, penyanyi, Raes Arifin, beranggapan muzik banyak membantunya keluar daripada hidup yang gelap itu.

Ketika dirinya hampir patah semangat, muzik seolah-olah membawa cahaya dalam kehidupannya sekali gus menguatkannya untuk membuktikan bakat yang dipendamnya menerusi program realiti, Gimme The Mic tahun lalu.

Ketika program bersiaran, Raes antara yang mencuri tumpuan dengan kejituan lontaran suara dan keunikan vokal walaupun tidak menyandang gelaran juara. Kini, Raes akhirnya semakin yakin bergelar penyanyi dengan lagu debutnya Jalan Cinta. Sekali dengar, lagu ini mengisahkan tentang hubungan cinta yang terputus di tengah jalan namun enggan mengalah dengan hidup. Bagaimanapun, bagi Raes, lagu ini menunjukkan rasa cintanya kepada bidang seni dan nyanyian.

“Nyanyian saya boleh anggap sebagai alat untuk bangkit daripada pelbagai liku hidup. Ia menjadi titik tanda serta titik mula untuk saya masuk dalam dunia seni tanah air dan bergiat lebih serius lagi selepas ini.

“Lagu ini memang boleh dikaitkan dengan kisah-kisah berlainan setiap orang, namun untuk saya, cinta adalah ‘nyanyian’ menyelamatkan saya daripada segala yang membuat saya putus asa.

“Dalam lagu ini ada rangkap ‘dan aku merayu, jalan cinta ini tak berakhir dulu’ seperti itulah saya berharap agar suara ini terus ada dalam hidup untuk bangkit semula dan percaya yang semuanya akan baik-baik saja,” ujarnya.

Mengulas mengenai Jalan Cinta, Raes berkata, pelbagai proses dan tapisan dilakukan untuk mencari naskhah terbaik untuk lagu debutnya. Dia bersyukur kerana dipertemukan dengan penyanyi, Shiha Zikir yang menyuntingnya sebagai artis rakaman dan mahu memberikan yang terbaik terhadap kerjaya seninya.

“Saya beri sepenuh kepercayaan kepada Shiha dan label Shiha Zikir Empire untuk mencari serta menentukan lagu yang sesuai dengan suara nyanyian saya.

“Berpuluh-puluh lagu juga dicari sehingga menemukan lagu Jalan Cinta. Bayangkan Shiha yang kita kenal sebagai seorang yang ceria dan banyak bergurau boleh berubah menjadi sangat fokus dalam misi mencari lagu pertama ini.

“Semasa proses rakaman pula, saya diberi kebebasan mengolah lagu mengikut cara saya di bawah bimbingan Shiha. Alhamdulillah, lagu ini tidak memakan masa yang lama untuk dirakam, sekitar 40 minit ke sejam sahaja,” katanya.

Jalan Cinta kini boleh didengari menerusi platform penstriman YouTube. Raes berharap lagu ini akan mendapat tempat dalam kalangan pendengar terutama untuk kelab peminatnya, ‘sunRaes’.

“Saya harap lagu ini boleh diterima baik oleh ramai pendengar serta dapat menjadi satu lagu untuk ditambah dalam senarai lagu galau anda.

“Semoga Jalan Cinta akan membuatkan saya menembusi industri muzik juga menjadi jambatan untuk saya menambat hati peminat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN