Murid SK Kuala Mai dalami tarian tradisional

Murid SK Kuala Mai dalami tarian tradisional

MURID Sekolah Kebangsaan ( SK) Kuala Mai giat menjalani latihan tarian piring di Kampung Paya Sok, Kuala Krau, Temerloh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Mai, Kuala Krau, Temerloh baru-baru ini diberi pendedahan awal dengan seni tarian tradisional Pahang menerusi program latihan anjuran Permata Warisan Seni Kampung Paya Sok (PEWARIS).

Program tersebut bertujuan menyemai minat serta meningkatkan kefahaman murid terhadap warisan budaya tempatan sejak di bangku sekolah rendah, selaras usaha memupuk kecintaan terhadap seni tradisi dalam kalangan generasi muda.

Pengerusi PEWARIS, Muhamad Saadon Imam Yaakob, 63, berkata penglibatan murid sekolah rendah amat penting bagi memastikan kesinambungan seni tradisi tidak terputus dan terus diwarisi oleh generasi akan datang. Menurutnya, seni warisan turut berperanan membentuk jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata, PEWARIS berpegang teguh kepada prinsip keaslian dengan mengekalkan bentuk asal seni tradisional tanpa mencampur-adukkan unsur luar, supaya nilai budaya yang diwarisi turun-temurun kekal tulen serta tidak terpesong daripada makna sebenar.

Usaha memartabatkan seni tradisi itu mendapat sokongan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Sok yang menyediakan ruang latihan serta menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam aktiviti kebudayaan.

Sementara itu, tenaga pengajar PEWARIS, Mohd. Rahmad Zainal Abidin, 46, berkata murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun dilatih secara berperingkat dalam tarian tradisional seperti Tarian Piring, Tarian Lilin dan Tarian Sesumpah mengikut kemampuan dan tahap usia mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN